UMNO Sabah 35 Tahun: Pemuda Seru Muhasabah, Pembaharuan Dan Perkukuh Kesatuan – Rushamizan

KUALA LUMPUR, 26 Feb — Ulang tahun ke-35 UMNO Sabah merupakan detik penting untuk semua khususnya generasi muda dalam parti bagi menilai perjalanan panjang perjuangan yang penuh dengan cabaran, jatuh bangun serta perubahan landskap politik negeri, kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tawau, Rushamizan Rustam.

Beliau berkata sepanjang tiga dekad setengah, UMNO Sabah telah melalui fasa sukar termasuk episod kejatuhan yang menguji kesetiaan ahli, tekanan politik berterusan serta persaingan yang semakin kompleks.

“Namun di sebalik semua itu, satu perkara kekal jelas iaitu akar perjuangan UMNO Sabah masih kukuh di hati rakyat. Justeru, ulang tahun ke-35 ini perlu menjadi titik muhasabah dan pembaharuan untuk seluruh jentera parti.

“Realiti politik semasa menuntut pendekatan baharu selaras dengan perubahan sikap pengundi khususnya generasi muda yang semakin celik dan menilai berdasarkan prestasi, integriti serta keikhlasan khidmat, bukan lagi sentimen semata-mata.

“Pemuda UMNO Sabah kekal komited untuk menjadi jambatan antara parti dan generasi muda, memperkukuh gerak kerja akar umbi, membawa politik berteraskan solusi serta mempertahankan kestabilan dan masa depan negeri,” katanya kepada UMNO Online.

Seterusnya kata Rushamizan, kekuatan UMNO Sabah pada masa depan bergantung kepada keberanian melakukan peremajaan kepimpinan dan pemodenan pendekatan politik tanpa mengorbankan prinsip perjuangan.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh ahli parti supaya terus istiqamah dan tidak mudah goyah berdepan gelombang politik semasa.

“Kesatuan saf perlu diutamakan kerana kekuatan dalaman parti adalah benteng utama dalam suasana politik yang mencabar.

“Pemuda khususnya mesti terus turun padang, mendengar dan menyelesaikan masalah sebenar masyarakat selain memberi ruang kepada generasi baharu sebagai barisan pelapis yang kompeten dan berwibawa,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bagi Pemuda UMNO Sabah, ulang tahun ke-35 bukan sekadar mengenang sejarah, sebaliknya komitmen untuk memimpin masa depan.

“Selagi kita kekal bersatu, istiqamah dan benar-benar berkhidmat kepada rakyat, Pemuda yakin UMNO Sabah akan terus relevan dan kembali lebih kuat dalam landskap politik negeri. Perjuangan belum selesai… Sabah Tanah Airku,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO