Kebakaran Kilang Getah di Sengkang Masuki Fasa Akhir Pemadaman
KULAI, 25 Feb – Operasi pemadaman kebakaran melibatkan sebuah kilang memproses getah di kawasan perindustrian Sengkang kini memasuki fasa akhir, dengan kira-kira 40 peratus kawasan masih dalam proses dipadamkan setakat maklumat terkini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merangkap ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, Kerajaan Negeri memandang serius kejadian yang berlaku di premis berlesen itu, yang diluluskan operasinya pada 18 Ogos 2021 dan memiliki Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bertarikh 26 September 2018.

Menurut beliau, sejurus laporan diterima, operasi pemadaman digerakkan secara bersepadu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Pejabat Daerah Kulai serta agensi teknikal berkaitan.
“Fokus utama ketika ini adalah pemadaman sisa kebakaran dan tompokan bahan mentah getah serta plastik yang masih aktif. Teknik ‘direct attack’ menggunakan buih (foam) digunakan bagi memastikan api dipadam sepenuhnya dan mengelakkan nyalaan semula,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jelasnya, bagi menyokong operasi di lapangan, MPKu menggerakkan dua unit backhoe dan dua unit excavator sewaan untuk kerja-kerja membongkar timbunan sisa kebakaran bagi memudahkan akses pasukan bomba.
Katanya, Pejabat Daerah Kulai turut membantu menyelaras tambahan jentera termasuk JCB dan excavator bagi mempercepatkan proses pelupusan bahan terbakar.
Sebelum ini, pasukan bomba dilaporkan berdepan kekangan bekalan buih susulan sifat bahan yang terbakar. Bagaimanapun, bantuan sebanyak 25 tong buih diterima daripada JBPM Melaka, diikuti tambahan 30 tong daripada JBPM Putrajaya pada pagi ini.

Mohd Jafni menekankan bahawa Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa aspek keselamatan awam, alam sekitar dan komuniti setempat menjadi keutamaan sepanjang operasi berlangsung selain pemantauan rapi akan diteruskan sehingga kebakaran disahkan padam sepenuhnya dan kawasan disahkan selamat.
Dalam pada itu, Mohd Jafni turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas termasuk JBPM, MPKu, Pejabat Daerah, agensi teknikal serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu kawalan keselamatan dan pengurusan lalu lintas sepanjang tempoh operasi.
“Kerajaan Negeri akan terus memastikan tindakan pemulihan dan penguatkuasaan diambil secara tegas dan bersepadu demi melindungi kesejahteraan rakyat serta keselamatan kawasan perindustrian di Negeri Johor,” katanya lagi. – UMNO Online
