UMNO Sabah 35 Tahun: Awang Aslee Tegaskan Komitmen Perjuangan Demi Rakyat

BEAUFORT, 24 Feb – Ulang tahun ke-35 UMNO Sabah semalam menjadi detik penting untuk memperkukuh iltizam dan komitmen perjuangan parti dalam membela nasib rakyat di negeri ini.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata usia 35 tahun mencerminkan kematangan dan pengalaman panjang UMNO Sabah dalam mendepani cabaran politik serta mempertahankan kepentingan rakyat.

“Walaupun tiada sambutan besar-besaran diadakan, usia ini tetap mempunyai makna yang cukup mendalam buat seluruh ahli dan kepimpinan UMNO Sabah. Ia mengingatkan kita kepada sejarah perjuangan yang panjang dan pengorbanan yang telah dilalui,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Desa, Pertanian dan Sumber Asli UMNO Negeri Sabah menegaskan bahawa perjuangan parti harus terus difokuskan kepada kestabilan politik, pembangunan luar bandar dan kesejahteraan rakyat.

“Perjuangan UMNO Sabah bukan sekadar soal politik, tetapi soal tanggungjawab. Kita mesti terus konsisten membela rakyat, memperjuangkan hak negeri serta memastikan pembangunan sampai ke akar umbi,” tegasnya.

Menurut beliau, cabaran politik semasa menuntut ahli parti supaya lebih bersatu dan berdisiplin dalam memperkukuh organisasi.

Katanya, perjuangan UMNO Sabah sentiasa berpaksikan kepada kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian berterusan dalam aspek pembangunan infrastruktur, pertanian dan ekonomi setempat.

“Usia 35 tahun ini adalah simbol ketahanan. Kita pernah melalui pelbagai fasa jatuh bangun, namun semangat perjuangan tidak pernah luntur. Dengan kesatuan dan keikhlasan, kita akan terus melangkah ke hadapan demi rakyat Sabah,” ujarnya lagi.

Awang Aslee turut menyeru seluruh ahli UMNO agar menjadikan ulang tahun ini sebagai titik muhasabah dan pembaharuan dalam memperkukuh keyakinan rakyat terhadap parti. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO