35 Tahun UMNO Sabah: Diuji Pelbagai Fasa, Semangat Ahli Jadi Kekuatan Utama – Anil Sandhu
KUALA LUMPUR, 25 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Seri Dr Anil Sandhu berpandangan perjalanan 35 tahun UMNO Sabah bukanlah satu tempoh yang singkat, sebaliknya sarat dengan pelbagai pengalaman, cabaran serta liku perjuangan yang mematangkan parti dalam mendepani realiti politik negeri.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah berkata, sepanjang tiga dekad setengah ini, UMNO Sabah telah melalui pelbagai onak dan duri termasuk fasa kejatuhan, perubahan landskap politik negeri yang begitu dinamik serta ujian kepercayaan rakyat yang menuntut kesabaran dan keteguhan jati diri setiap ahlinya.

“Dalam 35 tahun ini, kita telah merasai saat berada di puncak dan juga saat diuji dengan kejatuhan. Kita pernah berdepan gelombang perubahan politik yang menggoncang kestabilan, namun UMNO tidak pernah mati. UMNO tetap bangkit kerana roh perjuangannya masih hidup dalam jiwa ahli.
“Setiap cabaran yang ditempuhi sepatutnya menjadi baja yang menyuburkan semangat perjuangan, bukan racun yang melemahkan keyakinan.
“Kesetiaan dan disiplin adalah asas kekuatan parti. Kita tidak boleh mudah terpengaruh dengan dakyah yang boleh melemahkan semangat perjuangan. UMNO telah melalui pelbagai ujian dan tetap bangkit kerana kekuatan ahlinya,” katanya.
Mengulas lanjut Anil yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu menjelaskan, landskap politik Sabah yang sentiasa berubah menuntut ahli parti agar lebih matang, berstrategi dan berpegang teguh kepada prinsip, bukannya mudah terikut dengan emosi atau sentimen jangka pendek.
“Ahli UMNO mesti istiqamah. Jangan mudah goyah walau diasak dengan propaganda, tekanan atau tawaran yang menggoda. Kesetiaan kepada perjuangan lebih besar daripada kepentingan peribadi.
“Kekuatan UMNO tidak terletak pada individu semata-mata, tetapi pada solidariti dan kesatuan saf yang kukuh dari peringkat akar umbi hingga kepimpinan tertinggi.
“Perjuangan ini bukan tentang siapa yang menang hari ini, tetapi tentang siapa yang mampu bertahan dan terus berkhidmat untuk rakyat. Selagi ahli kekal setia, berdisiplin dan tidak mudah menyerah kalah, UMNO Sabah akan terus berdiri teguh dan relevan,” katanya lagi.
Beliau juga menyeru seluruh ahli agar memperkukuh saf perjuangan, merapatkan barisan serta kembali kepada matlamat asal parti iaitu membela nasib rakyat dan memastikan kestabilan politik demi kemajuan Sabah.
“Dengan semangat kebersamaan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, UMNO Sabah mampu memainkan peranan penting dalam landskap politik negeri pada masa hadapan, malah tampil sebagai benteng utama mempertahankan hak rakyat dan kedaulatan negeri ini.
“Perjuangan ini adalah amanah. Amanah untuk membela rakyat tanpa mengira latar belakang. Dengan kesatuan hati dan iltizam yang jitu, UMNO Sabah mampu kembali menjadi tunjang kekuatan politik negeri dan penentu masa depan yang lebih gemilang,” ujarnya. – UMNO Online
