Penjawat Awam Perak Terima RM1,500 BKK Aidilfitri – Saarani
KUALA LUMPUR, 24 Feb – Seluruh penjawat awam Negeri Perak akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri berjumlah RM1,500, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Saarani berkata pengumuman tersebut telah dibuat pada Majlis Berbuka Puasa bersama para penjawat awam pada Isnin.

“Mengisi Ramadhan ke-5 dengan iftar bersama rakan-rakan penjawat awam di Laman Seri Ridzuan, malam tadi.
“Walaupun majlisnya sederhana, tapi penuh makna apabila kita dapat berkumpul berbuka puasa dan berterawih bersama. Mengeratkan lagi silaturrahim antara kita.
“Dalam ucapan, saya telah umumkan pemberian BKK Aidilfitri berjumlah RM1,500 kepada seluruh penjawat awam di bawah pentadbiran negeri ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar bantuan tersebut dapat meringankan beban untuk persiapan menyambut kehadiran Syawal.

“Inilah tanda terima kasih dan penghargaan kita kepada para penjawat awam negeri atas komitmen serta kerja keras dalam memastikan urusan pentadbiran negeri ini berjalan lancar.
“BKK Aidilfitri ini turut dipanjangkan kepada guru-guru KAFA dan Ketua Kampung pada kadar rata sebanyak RM500.
“Diharap dengan adanya bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan persiapan dalam menyambut Syawal yang akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online
