Imarah Ramadan Penuh Makna, Jalaluddin Santuni Rakyat Dan Pelajar Tahfiz
KUALA LUMPUR, 24 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO (BPUN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berbesar hati mengimarahkan Ramadan dengan menyantuni masyarakat setempat dan pelajar tahfiz dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di Surau Pondok Al Majidiah, Kampung Pondok di Jempol pada semalam.
Beliau berkata, program tersebut memberi peluang untuk mendekati masyarakat serta menyantuni golongan pelajar tahfiz yang merupakan aset penting dalam pembangunan ummah.
“Alhamdulillah, selesai majlis berbuka puasa yang cukup bermakna di Surau Pondok Al Majidiah, saya berpeluang duduk semeja dengan adik-adik pelajar tahfiz yang sangat berbudi bahasa dan penduduk kampung.
“Tiada apa yang lebih membahagiakan selain melihat anak-anak muda kita dipandu dengan didikan agama yang mantap. Inilah modal insan yang kita mahukan untuk masa depan Negeri Sembilan yang berilmu dan berakhlak mulia.
“Terima kasih warga Kampung Pondok atas layanan mesra. Seronok dapat ‘recharge’ semangat dengan melihat semangat anak-anak tahfiz ini. Doakan mereka berjaya menjadi pemelihara Al-Quran yang cemerlang dunia dan akhirat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jalaluddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu, kemudiannya turun padang ke kawasan beliau iaitu di Masjid Kariah Felda Pasoh 2 bagi menunaikan solat fardu Isyak dan solat sunat tarawih berjemaah bersama penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu turut menyifatkan peluang bersama masyarakat untuk memakmurkan masjid sepanjang Ramadan sebagai satu nikmat yang cukup bermakna.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana memberi ruang dan peluang untuk saya hadir menunaikan solat fardu Isyak dan solat sunat tarawih berjemaah bersama warga Felda Pasoh 2.
“Ada ketenangan yang tersendiri apabila dapat berdiri sebaris dengan kariah di sini, menghayati ayat-ayat suci Al-Quran dalam suasana yang penuh khusyuk. Masjid bukan sekadar tempat ibadah, ia adalah nadi yang menyatukan hati-hati kita di bulan yang mulia ini.
“Semoga setiap rakaat dan doa yang kita titipkan malam ini diterima oleh-Nya sebagai amal soleh. Terus istiqamah dalam mencari Lailatul Qadar!” ujar beliau. – UMNO Online
