Sharif Musa Perkasa Program Sinar Ramadan, Santuni Rakyat Lahad Datu
LAHAD DATU, 23 Feb – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul meneruskan komitmennya dalam mendekati rakyat apabila beliau menyempurnakan Program Sinar Ramadan: Bubur Lambuk CMC FC Peringkat Daerah Lahad Datu 2026 yang berlangsung meriah di ruang parkir belakang PETRON Bandar Lahad Datu, semalam.
Program yang diadakan bersempena Ramadan 1447H itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat seawal jam 10 pagi, sebelum pengagihan bubur lambuk bermula pada jam 4 petang.

Sharif Musa menegaskan bahawa Ramadan adalah bulan terbaik untuk memperkukuh perpaduan dan menyemai nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi bulan untuk kita memperkukuh silaturahim dan memperbanyakkan amal kebajikan. Program seperti ini mendekatkan pemimpin dengan rakyat, dan rakyat dengan rakyat,” katanya.
Beliau turut memuji inisiatif Kelab Bola Sepak Cahaya Mulia (CMC FC) serta rakan-rakan strategik yang berganding bahu menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan, badan sukan dan kepimpinan masyarakat adalah contoh terbaik semangat muafakat di Lahad Datu.
Sharif Musa berkata, pengagihan bubur lambuk bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa mesej kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
“Apa yang lebih penting daripada jumlah bubur yang diagihkan ialah nilai kasih sayang dan keikhlasan di sebalik usaha ini. Kita mahu memastikan tiada golongan yang terpinggir, terutama dalam bulan yang penuh keberkatan ini,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa agenda kebajikan akan terus menjadi keutamaan, malah memberi suntikan semangat kepada para sukarelawan dan mereka yang bertungkus-lumus menjayakan program kebajikan tersebut.

Daam masa yang sama, Sharif Musa menyeru masyarakat untuk terus mengimarahkan bulan Ramadan termasuklah mengajak golongan muda agar tampil aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan.
“Anak-anak muda adalah aset masa depan daerah ini. Saya mahu melihat lebih ramai belia terlibat dalam program kebajikan dan pembangunan komuniti. Inilah platform terbaik untuk membentuk kepimpinan berjiwa rakyat,” katanya.
Program Sinar Ramadan tersebut menyaksikan sambutan hangat daripada penduduk sekitar yang hadir mendapatkan bubur lambuk untuk juadah berbuka puasa. – UMNO Online
