Pemantauan Berterusan Susulan Gempa Bumi Sabah, Ahmad Zahid Seru Patuhi Arahan

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Susulan kejadian gempa bumi yang berlaku awal pagi tadi di perairan Sabah, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan pemantauan lapangan secara berterusan sebagai langkah berjaga-jaga.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Beliau yang juga Presiden UMNO menasihatkan penduduk di kawasan terlibat agar sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa, kekal tenang dan tidak panik.

“Keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Sehubungan itu, saya memohon penduduk di kawasan berhampiran agar sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa, kekal tenang dan tidak panik.

“Dapatkan maklumat sahih daripada Portal Bencana atau media sosial rasmi MET Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi lain yang berkaitan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Faebooknya.

Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mengambil kesempatan dalam keberkatan bulan Ramadan untuk bermunajat dan berdoa.

“Dalam keberkatan bulan Ramadan ini, marilah kita bersama-sama mendoakan agar saudara-saudara kita di Sabah sentiasa dilindungi dan dijauhkan daripada sebarang musibah. Semoga Allah SWT memelihara kita semua, insya-Allah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa rondaan turut dijalankan di kawasan tepi laut berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) serta pemeriksaan di beberapa daerah termasuk Putatan dan Kudat, selain kawasan sekitar bagi memastikan keadaan kekal selamat dan terkawal.

“Menurut makluman Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), gempa bumi bermagnitud 6.8 itu berlaku di perairan Kota Kinabalu, Sabah iaitu kira-kira 49 km barat dari Kudat, Sabah pada jam 12.57 pagi.

“Gegaran dilaporkan dirasai di Sabah serta beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Setakat ini, tiada amaran tsunami dikeluarkan, dan MET Malaysia akan memantau keadaan dari semasa ke semasa.” – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO