Imarah Ramadan: Azalina Sumbang RM100,000 Kepada Masjid Al-Syifa Pengerang
KUALA LUMPUR, 23 Feb – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said telah menyumbangkan RM100,000 kepada Masjid Al-Syifa Bandar Penawar untuk menyokong program bubur lambuk yang melibatkan 58 penerima.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) telah berkesempatan bersama komuniti masjid, surau dan madrasah seluruh Parlimen Pengerang dalam majlis buka puasa pada Sabtu.

“Alhamdulillah, hari ini dapat bersama komuniti masjid, surau dan madrasah seluruh Parlimen Pengerang dalam majlis buka puasa di Masjid Al-Syifa Bandar Penawar.
“Ramadan tahun ini, seperti biasa kita salurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM100,000 bagi menyokong program bubur lambuk yang melibatkan 58 penerima terdiri daripada ketua komuniti, masjid, surau dan madrasah di Parlimen Pengerang.
“Bubur lambuk bukan sekadar juadah, tapi simbol kebersamaan dan kasih sayang sesama kita. Terima kasih kepada semua yang terus menggerakkan komuniti,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia turut berharap agar Ramadan pada kali ini membawa rahmat dan keberkatan kepada seluruh umat Islam.
“Pengerang kuat bukan sebab pembangunan sahaja, tapi sebab hati warganya yang sentiasa bersatu.
“Semoga Ramadan ini membawa rahmat dan keberkatan buat kita semua,” katanya lagi.
Sementara itu, menerusi hantaran video yang dimuatnaik di Facebook Azalina pada Isnin, Imam Masjid Al-Syifa Bandar Penawar, Ahmad Somkrim berharap agar warga Pengerang sentiasa mempunyai ikatan persaudaraan yang kuat.

“Satu majlis yang didatangkan khas oleh Datuk Seri Azalina iaitu Majlis Iftar Ramadan Parlimen Pengerang.
“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri yang telah mengadakan program ini. Mudah-mudahan warga Pengerang ini mempunyai ikatan persaudaraan yang kuat seperti tema yang dibawa iaitu ‘Pengerang Jaga Pengerang’,” katanya. – UMNO Online
