Integriti, Akauntabiliti Dan Tadbir Urus Bersih … Teras Utama Kepimpinan ATM

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang bersih merupakan teras utama kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ekosistem pertahanan negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menerima kunjungan hormat dari Ketua Staf Markas ATM yang baharu, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri pada Khamis.

“Saya menerima kunjungan hormat Ketua Staf Markas ATM yang baharu, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri, di Wisma Pertahanan.

“Beliau dilantik sebagai Ketua Staf Markas ATM berkuat kuasa 1 Januari 2026, selepas menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Eksekutif Institut Pertahanan & Keselamatan Malaysia (MiDAS).

“Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang bersih merupakan teras utama kepimpinan ATM serta ekosistem pertahanan negara,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ATM turut memikul amanah untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.

“Dalam hal ini, kepimpinan utama ATM bukan sahaja bertanggungjawab memastikan kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi, malah memikul amanah untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara, tanpa kompromi.

“Tahniah kepada Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi atas pelantikan ini. Semoga beliau terus diberi kekuatan untuk memikul amanah demi kepentingan pertahanan dan keselamatan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO