Razlan Seru Peniaga Bazar Ramadan Utamakan Kebersihan, Sentiasa Berhemah
KUALA LUMPUR, 20 Feb – Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menyampaikan lesen perniagaan sementara serta apron kepada para peniaga di Bazaar Ramadan Sri Petaling.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO memanfaatkan peluang tersebut dengan menyeru para peniaga agar menjalankan perniagaan dengan penuh tanggungjawab serta menitikberatkan aspek kebersihan dan ketenteraman kawasan bazar demi keselesaan pengunjung sepanjang Ramadan.

“Saya telah dijemput oleh pengelola bersama Bazaar Ramadan Sri Petaling, Kak Pah untuk menyampaikan lesen perniagaan sementara serta apron kepada para peniaga di sini.
“Saya berharap agar semua peniaga dapat menjalankan perniagaan dengan penuh amanah, berhemah serta bersama-sama menjaga kebersihan dan ketenteraman tapak bazar demi keselesaan para pengunjung.
“Semoga setiap urusan dipermudahkan, perniagaan berjalan lancar dan rezeki yang diperoleh sepanjang bulan Ramadan ini diberkati serta membawa kebaikan kepada semua. Terima kasih kepada Datuk Gulam Muszaffar yang membantu dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, menerusi perkongsian berbeza, Mohd Razlan turut memaklumkan beliau baru-baru ini berkesempatan menganjurkan satu majlis bersama kepimpinan serta Jawatankuasa UMNO Cawangan Salak Jaya di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, pertemuan tersebut menjadi platform penting untuk berkongsi perkembangan semasa termasuk pembinaan Masjid Salak Jaya yang kini berjalan mengikut perancangan dan telah memasuki peringkat akhir persiapan sebelum majlis pecah tanah dilaksanakan.
“Saya juga memohon agar ahli-ahli cawangan dapat berkongsi perkembangan pembinaan masjid ini kepada anak-anak kariah.
“Di kesempatan itu juga, saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua yang hadir.
“Semoga segala doa, amalan dan usaha kebajikan yang kita lakukan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini diterima oleh Allah S.W.T, serta menjadi asbab untuk mengeratkan lagi ukhuwah, memperkukuh perpaduan dan memperteguh semangat khidmat kita kepada agama, bangsa dan tanah air,” ujar beliau. – UMNO Online
