Tahun Baharu Cina: Bukan Sekadar Tradisi … Jambatan Hubungkan Hati-Hati Masyarakat Majmuk
KUALA LUMPUR, 19 Feb – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan bahawa perayaan seumpama Tahun Baharu Cina bukanlah sekadar tradisi malah ia menjadi jambatan yang menghubungkan hati-hati dalam masyarakat majmuk.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia memaklumkan beliau telah mengadakan Ziarah Kasih sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Selasa.

“Seperti kebiasaan setiap tahun, saya memulakan kunjungan Tahun Baharu Cina dengan menziarahi kediaman Datuk Tan Teck Poh. Tradisi ini sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan khidmat saya di Parlimen Parit Sulong. Bukan sekadar memenuhi undangan, tetapi mengukuhkan silaturahim yang telah lama terjalin.
“Kebetulan pula, kunjungan kami serentak dengan YB Fared bersama pasukannya yang turut hadir beraya. Datuk Tan, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah dan juga bekas Ketua Bahagian MCA, sentiasa menyambut kami dengan penuh mesra serta terbuka. Pengalaman dan sumbangan beliau dalam landskap politik setempat amat saya hargai.
“Usai dari situ, kami meneruskan kunjungan ke rumah Ketua Masyarakat Kangkar, saudara Pawi atau nama sebenarnya Teo Poh Gee. Pertemuan kali ini lebih istimewa apabila saya berkesempatan bertemu anak beliau yang baru sahaja mendirikan rumah tangga baru-baru ini. Isterinya berasal dari Singapura,” katanya.

Ujarnya, Ziarah Kasih diteruskan ke Sri Medan dan beliau berpeluang untuk bertemu dengan keluarga mendiang Ketua Masyarakat, Lim Kok Hwa.
“Selesai sahaja di Kangkar Senangar, kami bergerak pula ke Sri Medan. Destinasi pertama adalah rumah Durian @ Tio Cheng Huat dan ke rumah Mr. Lim @ Au Yong. Sambutan mereka cukup mesra, penuh dengan nilai persahabatan yang tulus.
“Di Sri Medan, sebelum kami bergerak ke bandar, saya singgah di rumah mendiang Ketua Masyarakat, Lim Kok Hwa. Saya berpeluang bertemu dengan isteri dan anak mendiang. Semoga keluarga mendiang terus diberikan kekuatan dan kesejahteraan.
“Selepas itu, kami bergerak ke Batu Pahat. Kunjungan pertama adalah ke rumah Datuk Lim Chai Kui. Suasana penuh ceria, disambut dengan kemesraan dan perbualan santai yang menyentuh pelbagai isu setempat serta perkembangan semasa.
“Kami kemudian singgah di rumah Ah Seng di Bagan. Pertemuan ringkas namun penuh makna, dengan suasana kekeluargaan yang cukup terasa. Inilah keindahan sambutan perayaan, ruang untuk bertanya khabar dan memperbaharui ukhuwah,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar Tahun Baharu Cina pada tahun ini membawa keberkatan, kesihatan yang baik dan kemakmuran berpanjangan buat seluruh warga Parlimen Parit Sulong.

“Kunjungan seterusnya adalah ke rumah Tan Siew Hui, Ketua Masyarakat Semerah. Pertemuan ini menutup rangkaian ziarah hari ini dengan semangat kebersamaan yang sangat saya hargai. Komitmen para ketua masyarakat dalam menjaga keharmonian setempat amat besar ertinya dalam memastikan perpaduan terus subur.
“Seharian berkunjung dari Parit Sulong ke Sri Medan dan seterusnya ke Batu Pahat benar-benar mengingatkan saya bahawa kekuatan kita terletak pada hubungan yang dibina atas dasar saling hormat dan kepercayaan.
“Perayaan bukan sekadar tradisi, tetapi jambatan yang menghubungkan hati-hati dalam masyarakat majmuk. Semoga Tahun Baharu Cina ini membawa keberkatan, kesihatan yang baik dan kemakmuran berpanjangan buat seluruh warga Parlimen Parit Sulong,” katanya lagi. – UMNO Online
