Semarak Ihya Ramadan 2026, Manndzri Bersama Komuniti Rai Dengan Kesyukuran

TENGGARA, 19 Feb – Kehadiran Ramadan tahun ini disambut penuh kesyukuran dan semangat kebersamaan melalui penganjuran program Semarak Ihya Ramadan 2026 @ Parlimen Tenggara yang diadakan baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib, inisiatif kali ini diteruskan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya dengan memberi fokus kepada kebajikan masjid, surau, institusi tahfiz dan rumah anak yatim di seluruh Parlimen Tenggara.

“Alhamdulillah, semua hadir dan memberikan sokongan yang amat baik. Rasa seronok apabila hasrat kita disambut oleh pimpinan masyarakat. Inilah yang kita inginkan iaitu merai Ramadan dengan penuh kesyukuran,” ujar beliau.

Jelasnya, program terbabit adalah acara tahunan bersama masyarakat setempat malah menjadi wadah memperkukuh silaturahim serta menyemai nilai kasih sayang dalam komuniti.

Menurut beliau, sebanyak 26 masjid dan 36 surau di seluruh Parlimen Tenggara menerima sumbangan berbentuk kurma, saguhati bagi pelaksanaan aktiviti Ramadan serta kit pengurusan jenazah untuk kegunaan komuniti.

Selain itu, Manndzri turut menyampaikan sumbangan kepada tujuh pusat tahfiz dan sebuah rumah anak yatim sebagai persiapan dalam bulan Ramadan yang bertujuan meringankan beban pengurusan serta memastikan kebajikan pelajar tahfiz dan anak-anak yatim terus terpelihara.

“Program Semarak Ihya Ramadan 2026 adalah platform memperkukuh ukhuwah antara kepimpinan dan rakyat, selain menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan sebagai bulan ibadah, kebajikan dan perpaduan di Parlimen Tenggara.”

Malam tadi beliau memulakan solat sunat Terawih pertama di Masjid Jamek Felda Pengeli Timur yang dipenuhi jemaah dari pelbagai peringkat usia.

Sejurus selesai solat, Ahli Parlimen Tenggara turut meluangkan masa bersama penduduk di Warung Kak Ani dalam suasana santai, bertukar pandangan serta mengeratkan silaturahim bersama anak muda dan penduduk setempat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO