Pemuda UMNO Bukit Gantang Gotong-royong Bersihkan Rumah OKU Terjejas Banjir
KUALA LUMPUR, 19 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Ibnu Rasyeed Mat Isa bersama sukarelawan turun padang bergotong-royong membersihkan rumah seorang orang kurang upaya (OKU) yang terjejas akibat banjir di Trong.
Beliau yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Perak Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong berkata keadaan rumah milik lelaki berusia 58 tahun yang dikenali sebagai Abang Azali itu amat menyentuh hati apabila masih dipenuhi lumpur, bau hapak serta timbunan barang rosak selepas dilanda banj
“Petang itu , saya berdiri di depan sebuah rumah kecil di Batu 26, Trong. Di dalamnya tinggal seorang lelaki, 58 tahun, orang kurang upaya. Namanya Abang Azali. Hidup sebatang kara.
“Rumahnya dilanda banjir. Lumpur masih di lantai. Bau hapak masih kuat. Barang-barang rosak bertimbun.
“Kita sudah mula kita berpuasa. Saya terfikir… bagaimana dia mahu bersahur? Di mana dia mahu solat jika rumah sendiri pun belum sempat dibersihkan?
“Kadang-kadang ujian bukan sekadar pada tubuh yang lemah tetapi pada sunyi yang panjang. Sebab itu kami turun bergotong-royong. Bukan kerana mahu dipuji tetapi kerana rasa tak sampai hati,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Program gotong-royong tersebut melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Ketua UMNO Cawangan Batu 26 dan Cawangan Sungai Rotan, penduduk kampung Batu 26 dan Sungai Rotan, Pemuda UMNO DUN Trong, sukarelawan Bulan Sabit Merah, pasukan TORC 4×4 serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Anuar.
“Tidak ada kamera yang boleh rakam rasa sebak bila melihat Abang Azali berdiri di pintu, memandang rumahnya yang perlahan-lahan kembali bersih.
“Dia tak minta banyak cukup sekadar tidak dilupakan. Ramadan mengajar kita tentang lapar dan dahaga tetapi lebih daripada itu, Ramadan mengajar kita tentang peduli.
“Semoga Ramadan kali ini bukan sekadar tentang diri kita tetapi tentang siapa yang kita angkat bersama,” ujar beliau. – UMNO Online
