Wanita UMNO Pasir Salak Perkukuh Agenda Wanita Menerusi AGM Persatuan Ibu Tunggal
PASIR SALAK, 19 Feb — Ketua Wanita UMNO Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin menegaskan bahawa golongan wanita memikul tanggungjawab paling besar dalam struktur sosial hari ini iaitu bukan sahaja sebagai ibu dan pencari nafkah, malah sebagai pembentuk masa depan anak-anak dan komuniti.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Pasir Salak yang telah berlangsung dengan meriah baru-baru ini, malah turut diberi nafas baru dengan gelaran yang beliau sendiri namakan ‘Supermom’.
Menurut Sri Rahayu di peringkat global, pemerkasaan wanita bukan lagi slogan kerana ia adalah strategi pembangunan negara.

“Malaysia juga tidak terkecuali, dan di peringkat akar umbi, Wanita UMNO Pasir Salak bersama rakan-rakan strategik NGO mahu memainkan peranan ini secara praktikal dan berkesan.
“Wanita tak kenal erti penat dan kita dah biasa multi-tasking, tapi apa-apa pun kita perlukan sistem sokongan yang padu supaya kita boleh memainkan peranan kita sehabis baik bagi menjaga keharmonian ekosistem masyarakat hari ini.
“Wanita bukan sahaja bercakap mengenai diri kita tetapi hal keluarga, anak-anak, ibu bapa, masyarakat, komuniti dan negara. Wanita mempunyai kekuatan luar biasa. Ditambah dengan evolusi pendidikan dunia, wanita hari ini ‘capable’ dalam melaksanakan tanggungjawab.” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut menyeru agar lebih ramai wanita tampil berani memperkasakan diri serta mengambil peluang untuk terlibat secara aktif dalam pertubuhan, keusahawanan dan kepimpinan agar dapat mengimbangi perubahan domestik dengan menjadi representasi kepada majoriti masyarakat hari ini.
Tambahnya, platform seperti Persatuan Ibu Tunggal wajar dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medan membina jaringan sokongan sesama wanita, selain meningkatkan kemahiran serta keyakinan diri.

“Kita mahu lihat wanita bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi menjadi pemain utama dalam pembangunan negara. Perhebatkan wanita, perkukuhkan peranan kita dan jadikan kebolehan yang ada sebagai kekuatan bersama,” ujar beliau.
Sri Rahayu juga menekankan kepentingan solidariti dalam kalangan wanita khususnya bagi memastikan agenda perjuangan terus relevan dan dekat di hati rakyat.
“Kita perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman.”
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli persatuan atas komitmen datang mesyuarat. – UMNO Online
