Azalina Santuni Nelayan dan Warga Emas Pengerang Sempena Ramadan 1447H

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Ketua Penerangan UMNO, Azalina Othman Said, baru-baru ini meluangkan masa bersama lebih 600 warga komuniti nelayan di kawasan Parlimen Pengerang bagi menyampaikan sumbangan sempena ketibaan Ramadan 1447H.

Menurut beliau, sumbangan tersebut merupakan tanda ingatan dan penghargaan atas usaha gigih para nelayan yang bertungkus-lumus mencari rezeki demi keluarga masing-masing.

“Alhamdulillah, menjelang Ramadan yang bakal tiba, saya berpeluang bersama komuniti nelayan Parlimen Pengerang untuk menyampaikan sedikit bingkisan sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau Program Sihat Ramadan anjuran Rakan Aktif Parlimen Pengerang (RAPP) yang memberi fokus kepada warga emas.

Ujarnya, program berkenaan bertujuan memastikan golongan tersebut kekal aktif dan ceria sepanjang bulan puasa tanpa mengira usia, sekali gus membantu mereka menjalani ibadah dengan lebih khusyuk.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya merupakan medan untuk memperbanyakkan kesabaran, bermuhasabah diri, memperbaiki hubungan sesama insan serta memperkukuh iman.

Beliau turut mendoakan agar Ramadan tahun ini membawa ketenangan jiwa, keberkatan rezeki dan kekuatan untuk seluruh warga Pengerang menjadi insan yang lebih baik.

“Semoga Ramadan kali ini dipenuhi dengan keberkatan dan kebaikan buat seluruh warga Pengerang, insya-Allah. Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO