Onn Hafiz Seru Perkukuh Perpaduan Bangsa Johor Sempena Tahun Baharu Cina 2026

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina 2026 kepada seluruh masyarakat Tionghua di negeri ini sambil menyeru agar semangat perpaduan terus diperkukuhkan demi kemakmuran Johor.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata, kepelbagaian budaya yang wujud di negeri Johor merupakan sebahagian daripada kekuatan yang membentuk Bangsa Johor, sekali gus menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan serta kemajuan berterusan.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2026 kepada seluruh masyarakat Tionghua di Negeri Johor.

“Kita mungkin berbeza latar belakang, warna kulit dan tradisi, namun kita berkongsi tanggungjawab yang sama untuk memastikan negeri ini terus aman, maju dan makmur,” katanya menerusi satu kenyataan

Menurut beliau, dalam suasana dunia yang semakin mencabar ketika ini, seluruh rakyat tidak boleh bergerak secara berasingan, sebaliknya perlu berdiri bersama sebagai satu keluarga besar Bangsa Johor.

“Ekonomi yang kukuh, peluang pekerjaan yang luas, pendidikan yang berkualiti dan kesejahteraan rakyat hanya dapat dicapai apabila kita berdiri bersama sebagai keluarga besar Bangsa Johor dengan cara Johor,” katanya lagi.

Tambahnya, Tahun Baharu Cina ini membawa bersama semangat keberanian dan iltizam baharu yang mampu menyuntik kekuatan kepada seluruh rakyat untuk terus melangkah ke hadapan.

“Sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini, semangat keberanian dan kerja keras perlu terus menjadi pendorong untuk memperkukuh perpaduan serta membina Johor yang lebih stabil, inklusif dan berdaya saing demi generasi akan datang. Xin Nian Kuai Le, Gong Xi Fa Cai,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO