Selamat Tahun Baharu Cina, Ahmad Zahid Seru Kukuhkan Perpaduan
KUALA LUMPUR, 16 Feb — Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina 2026 kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya.
Beliau berkata, menjelang tibanya Tahun Baharu Cina, suasana pasti terasa berbeza apabila rumah dihias indah, keluarga berkumpul, hidangan tradisi disediakan dan yang paling bermakna adalah saat bersama insan tersayang yang mengeratkan hubungan serta kasih sayang.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya. Semoga tahun baharu ini membawa kebahagiaan, kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah serta kejayaan dalam setiap langkah yang diusahakan,” katanya.
Menurut beliau lagi, dalam kepelbagaian budaya yang dimiliki negara, itulah keindahan Malaysia yang sebenar apabila rakyat meraikan perbezaan dengan penuh hormat, berkongsi kegembiraan bersama dan terus melangkah sebagai satu keluarga besar yang bersatu hati.
“Semoga tahun baharu ini membawa lebih banyak harapan dan kesejahteraan buat negara yang kita cintai,” ujarnya dengan ucapan Gong Xi Fa Cai. – UMNO Online
