Ahmad Zahid Lawat Ibu Pejabat FGV, Tekankan Tadbir Urus Kukuh Dan Hala Tuju Strategik
KUALA LUMPUR, 16 Feb — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat FGV Holdings Berhad di Wisma FGV, di sini, susulan amanah baharu yang diberikan kepadanya untuk mengelola dan memantau urusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta FGV.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, lawatan tersebut bertujuan melihat sendiri perkembangan semasa syarikat, memahami cabaran yang dihadapi serta meneliti hala tuju strategik yang sedang dirangka oleh pengurusan tertinggi FGV.

Menurutnya, sesi dialog bersama kepimpinan FGV membuka ruang perbincangan secara langsung mengenai langkah memperkukuh kedudukan institusi itu agar terus berdaya saing dan mampu memberi manfaat besar kepada peneroka serta ekonomi negara.
“FGV memainkan peranan yang amat signifikan dalam ekosistem pembangunan FELDA dan kesejahteraan warga peneroka. Justeru, kerjasama erat, tadbir urus yang mantap serta pendekatan strategik yang berpaksikan keberhasilan mesti terus diperkukuh,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap keputusan yang dibuat perlu memberi nilai tambah kepada rakyat, selain memastikan kelestarian FGV sebagai sebuah institusi korporat utama negara.
Ahmad Zahid juga optimis bahawa dengan komitmen semua pihak, FGV mampu terus diperkasakan sebagai institusi yang mampan dan progresif, sekali gus menjadi pemangkin kemakmuran generasi peneroka masa kini dan akan datang. – UMNO Online
