Rumah Baharu, Sinar Kehidupan Baharu Buat Keluarga Di Kampung Poh – Adun Behrang
KUALA LUMPUR, 16 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin terus komited menyantuni rakyat apabila hadir ke Kampung Poh, Bidor pagi ini bagi menyempurnakan majlis penyerahan rumah kepada Puan Nor Fadillah Adrus dan pasangan.
Dalam suasana penuh syukur dan sederhana, detik penyerahan kunci rumah tersebut menjadi simbol permulaan baharu buat keluarga berkenaan.
Menurut Salina yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Perak, program bantuan rumah oleh yayasan negeri berkenaan merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan negeri dalam memastikan golongan yang memerlukan tidak terus dibelenggu kesusahan.
“Penyediaan kediaman yang selamat dan selesa bukan sekadar bantuan fizikal, sebaliknya menjadi asas penting kepada keselamatan dan kesejahteraan sesebuah keluarga.
“Sebagai wakil rakyat saya hanya menyampaikan amanah yang dipertanggungjawabkan. Namun setiap kali majlis penyerahan seperti ini berlangsung, ia tetap menyentuh hati.
“Di sebalik sebuah rumah yang siap dibina, ada proses panjang yang dilalui, ada kepercayaan yang diberikan dan ada harapan besar yang diletakkan kepada kerajaan negeri untuk terus membela nasib rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.
Beliau menambah, apa yang sering dilihat masyarakat mungkin sekadar sebuah majlis ringkas penyerahan kunci namun hakikatnya, makna di sebalik penyerahan itu jauh lebih besar apabila sebuah keluarga kini memiliki tempat berteduh yang lebih sempurna dan lebih selamat.
“Inisiatif seumpama ini selari dengan aspirasi pembangunan negeri ke arah kesejahteraan menyeluruh, memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan.
“Semoga kediaman baharu ini menjadi ruang yang dipenuhi sakinah, dimurahkan rezeki serta menjadi tempat berteduh yang membawa kebahagiaan berpanjangan buat keluarga tersebut,” ujarnya.- UMNO Online
