Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah LKIM … Komitmen Berterusan Bantu Rakyat Imbangi Kos Sara Hidup
KUALA LUMPUR, 16 Feb – Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Perak mencerminkan komitmen berterusan kerajaan membantu rakyat mengimbangi kos sara hidup.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, usaha tersebut adalah untuk memastikan rakyat mendapat bekalan ikan segar pada harga lebih rendah daripada pasaran.

“Di Sungai Siput pada Ahad menyempurnakan Majlis Peluncuran Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah LKIM Negeri Perak.
“Usaha murni ini adalah ikhtiar berterusan kita untuk memastikan rakyat dapat bekalan ikan segar pada harga yang lebih rendah daripada pasaran.
“Program jualan akan dilaksanakan di kesemua 12 daerah di Perak, dengan lima tapak kekal di setiap daerah sebagai lokasi utama jualan.
“Selain itu, jualan bergerak menggunakan motosikal roda tiga, lori dan khemah akan diadakan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu di lokasi terpilih,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau berkata lebih 1,000 siri jualan disasarkan untuk digerakkan sepanjang tahun 2026.
“Sepanjang tahun 2026, kita sasarkan lebih 1,000 siri jualan digerakkan. Inisiatif ini bukanlah program bermusim, tetapi komitmen berterusan kita untuk membantu rakyat mengimbangi kos sara hidup.
“Dalam masa yang sama dapat menjaga kebajikan nelayan melalui rantaian bekalan dan pasaran yang lebih stabil.
“Semoga ikhtiar ini benar-benar meringankan beban rakyat dan dalam masa yang sama dapat tingkatkan lagi pendapatan nelayan kita,” katanya lagi. – UMNO Online
