Hamzah Dan Bekas Ahli UMNO Dipelawa Sertai Rumah Bangsa, Perkukuh Suara Melayu/Islam

LENGGENG, 15 Feb – Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin secara terbuka mempelawa bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Hamzah Zainudin, untuk kembali menyertai UMNO demi memperkukuhkan penyatuan orang Melayu.

Jelasnya, jemputan tersebut bukan sahaja ditujukan kepada Hamzah, malah kepada semua bekas ahli UMNO dan bekas pemimpin PPBM agar kembali berhimpun di bawah satu wadah perjuangan yang lebih kukuh dan stabil.

“Secara peribadi saya menjemput bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menyertai Rumah Bangsa atau kembali semula kepada UMNO, jemputan ini bukan hanya kepada beliau (Hamzah), tetapi semua bekas ahli UMNO dan bekas pemimpin-pemimpin parti PPBM yang lain demi penyatuan orang Melayu.

“UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang menegakkan syiar Islam, membela nasib anak bangsa dan mempertahan kedaulatan tanah air. Jika Hamzah dan yang lain kembali semula kepada UMNO. Suara pemimpin melayu akan bertambah kuat dalam memperjuangkan agenda-agenda melayu Islam.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula sudah menyatakan kesediaan untuk menerima bekas ahli UMNO dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin kembali kerana UMNO adalah tempat untuk ahli memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu dan menyatukan kembali orang-orang Melayu di bawah satu wadah politik yang kukuh dan stabil,” katanya.

Tambah beliau, Rumah Bangsa UMNO paling terbaik dan senada dengan perjuangan Hamzah bagi memartabatkan Islam, bangsa dan tanah air.

Mengulas lanjut, Asna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng turut menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, sentiasa memperjuangkan dan memperkasakan agenda orang-orang Melayu.

“Lihatlah hasil inisiatif beliau (Ahmad Zahid) yang mewakili UMNO bila berada dalam Kerajaan Madani. Banyak dasar-dasar baru yang telah diperkenalkan serta diperkukuhkan antaranya pencapaian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah lakukan pembaharuan dalam sistem pendidikan Tabika KEMAS. KKDW telah merangka strategi dan mewujudkan Pra-Tahfiz tabika KEMAS, TVET tahfiz dan pendidikan digital merentas desa iaitu smart classroom@KEMAS serta melahirkan huffaz cilik melalui program PeliTa@KEMAS.

“Peruntukan MARA turut ditingkatkan sebanyak RM6 bilion secara keseluruhan bagi memperkasakan pendidikan, ekonomi dan keusahawanan bumiputera, sekali gus memperkukuh ekosistem halal serta meningkatkan perniagaan bumiputera antara 30 hingga 40 peratus setiap tahun.

“Seramai 4,698 pelajar Melayu bumiputera termasuk dari Sabah dan Sarawak kini melanjutkan pengajian di 24 negara di seluruh dunia, manakala sasaran melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050 sedang digerakkan melalui program khas Ulul Albab termasuk di peringkat MARA,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Negeri Sembilan menjelaskan kerajaan juga memacu masa depan pelajar tahfiz dengan pelaksanaan TVET Tahfiz yang membolehkan mereka bukan sahaja menjadi imam dan pendakwah, malah menceburi bidang profesional seperti kejuruteraan, ‘oil and gas’, perkapalan dan penerbangan.

Dalam masa sama Dasar Tahfiz Negara terus diperkasa dengan penambahbaikan prasarana tahfiz, ujarnya.

Kata Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban itu lagi, perpecahan dalam kalangan orang Melayu perlu dihentikan segera dan UMNO sebagai parti keramat sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja termasuk individu daripada parti lain yang ingin kembali berjuang bersama.

“Kita sudah tidak mampu lagi berpecah, buang yang keruh dan ambil yang jernih, yang paling penting adalah demi kebaikan penyatuan Melayu, kita hendak parti kita kuat dan kembali dominan maka soal dendam serta terasa hati perlu dilupakan.

“Individu parti lain pun kita boleh terima masuk dalam UMNO, apatah lagi yang banyak jasa berjuang dalam UMNO. Kita perlu hentikan perpecahan di kalangan kita, biarlah semua bersatu dan bertaut kembali. Yang penting UMNO parti keramat boleh dibawa ke depan dan bersama-sama membina negara yang lebih cemerlang,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO