Naim Beri Sumbangan RM50,000 Naik Taraf Kemudahan Hospital Kinabatangan
KUALA LUMPUR, 15 Feb – Ahli Parlimen Kinabatangan Mohd Naim Kurniawan Moktar menyumbang sebanyak RM50,000 kepada Hospital Kinabatangan, daripada peruntukannya sendiri untuk menaik taraf kemudahan berkaitan.
Dalam sesi lawatannya ke hospital tersebut, Naim mendapati sebahagian fasiliti Hospital Kinabatangan berada dalam keadaan usang dan memerlukan penambahbaikan segera demi keselesaan serta kebajikan pesakit.

“Sebagai langkah awal, saya telah memperuntukkan sebanyak RM50,000 daripada peruntukan saya sendiri bagi tujuan menaik taraf kemudahan tertentu, termasuk menyumbangkan dua televisyen untuk kegunaan pesakit semasa rawatan di Pusat Hemodialisis.
“Dalam masa yang sama, saya akan membantu pihak hospital mengemukakan permohonan rasmi kepada YB (Yang Berhormat) Menteri Kesihatan Malaysia bagi mendapatkan peruntukan tambahan dan perhatian khusus terhadap keperluan menaik taraf Hospital Kinabatangan secara menyeluruh,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.
Ulas Naim yang juga Bendahari Pemuda UMNO Malaysia, beliau turun untuk meninjau sendiri keadaan operasi dan fasiliti hospital berkenaan ekoran aduan masyarakat berhubung kelewatan perkhidmatan.

“Dalam sesi lawatan tersebut, saya dimaklumkan bahawa Pengarah Hospital Kinabatangan Dr. Jonathan Noel Rayner Molikun, telah mengambil langkah proaktif dengan meminjam doktor daripada institusi lain bagi membolehkan keempat-empat bilik konsultasi pesakit dibuka sepenuhnya, berbanding hanya dua bilik sebelum ini.
“Usaha ini telah membantu mempercepatkan aliran rawatan dan mengurangkan tempoh menunggu pesakit,” katanya.
Katanya, kesihatan rakyat adalah keutamaan dan beliau akan terus memantau perkembangan ini agar masyarakat Kinabatangan mendapat perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, selesa dan bermaruah. – UMNO ONLINE
