Isu Gangguan Bekalan Air: Kerajaan Negeri Ambil Tindakan Segera

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir untuk melihat sendiri paras takungan air mentah di Empangan Machap yang membekalkan Loji Rawatan Air Simpang Renggam, sekali gus memastikan tindakan segera dapat diambil bagi menjamin kestabilan bekalan air kepada rakyat.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu, ini susulan gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Simpang Renggam baru-baru ini.

“Antara langkah utama yang telah diambil ialah pemasangan pam tambahan di Empangan Machap bagi meningkatkan kadar aliran.

“Kerja-kerja pemindahan aliran serta penambahbaikan sistem paip sepanjang 10 kilometer juga telah siap dilaksanakan bagi mengoptimumkan kapasiti sedia ada Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam,” katanya menerusi satu kenyataan dan video di Facebook.

Jelasnya lagi, bagi membantu rakyat sepanjang tempoh gangguan bekalan air ini, sebanyak 61 kenderaan telah digerakkan melibatkan 11 lori tangki SAJ, 25 lori tangki swasta, 19 lori tangki operator luar dan enam kenderaan pacuan empat roda.

“Dalam masa yang sama, bagi menambah kekerapan penghantaran air, kerajaan negeri juga telah menyelaras tambahan lori tanker daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sektor swasta.

“Langkah ini diambil supaya kekerapan penghantaran air dapat dipertingkat dan tempoh menunggu rakyat dapat dikurangkan,” katanya.

Tambah Onn Hafiz, kerajaan negeri juga bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan operasi pembenihan awan pada 11, 12 dan 15 Februari bagi meningkatkan peluang hujan di kawasan tadahan sebagai langkah tambahan pemulihan.

“Kepada seluruh rakyat yang terkesan, saya mendoakan agar tuan-tuan dan puan-puan dikurniakan kesabaran, ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi ujian ini.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT mengurniakan hujan yang mencukupi di kawasan tadahan, memulihkan paras empangan dan mengembalikan bekalan air seperti sediakala. Insya-Allah,” serunya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO