Pusat Data Johor: Apabila Fakta Diputar, Kebimbangan Dimanipulasi

KERAJAAN Negeri Johor kekal komited memacu negeri ini ke fasa pembangunan baharu yang lebih moden, berdaya saing dan berimpak tinggi, selari dengan arus kemajuan teknologi global serta ekonomi digital masa hadapan.

2. Pembangunan Pusat Data (Data Centre) merupakan antara inisiatif strategik utama yang dirangka secara terancang dan berfasa, bagi memastikan Johor terus relevan serta kompetitif sebagai destinasi pelaburan teknologi di peringkat nasional dan serantau.

3. Penting untuk ditegaskan bahawa Pusat Data bukan sekadar pembangunan fizikal, sebaliknya merupakan pemacu ekonomi digital bernilai tinggi yang menjana pekerjaan berkemahiran, pemindahan teknologi serta limpahan ekonomi jangka panjang.

4. Berdasarkan komitmen dan pengumuman pelaburan yang telah dibuat, berikut adalah fakta pembangunan Pusat Data di Johor:
* Sehingga suku kedua tahun 2025, 42 projek Pusat Data telah diluluskan.

* Melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM164.45 bilion

* Johor kini muncul sebagai peneraju hab digital negara dan Asia Tenggara dengan sumbangan 7.8% kepada kapasiti IT operasi Malaysia

* 6,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan

* Menjelang tahun 2030, 60% kapasiti pusat data negara disasarkan tertumpu di Johor

5. Selain peluang pekerjaan, pembangunan ini turut merangsang pemindahan teknologi, memperkukuh ekosistem digital tempatan serta meningkatkan hasil negeri melalui cukai, sewaan tanah industri dan limpahan ekonomi kepada perusahaan tempatan, khususnya sektor IKS.

6. Selaku EXCO yang bertanggungjawab terhadap portfolio keusahawanan, saya berpuas hati apabila ramai usahawan kecil dan sederhana tempatan—sama ada kontraktor mahupun pembekal—diberi peluang menyertai rantaian nilai pembangunan Pusat Data ini. Malah, usahawan yang belum terlibat turut dibantu melalui bimbingan dan nilai tambah supaya mereka mampu menjadi sebahagian daripada rantaian pembekal, memastikan limpahan ekonomi ini benar-benar dinikmati secara menyeluruh oleh Bangsa Johor.

7. Sehubungan itu, naratif yang cuba menimbulkan ketakutan kononnya pembangunan Pusat Data akan menjejaskan bekalan air dan elektrik rakyat adalah tidak berasaskan fakta, mengelirukan dan bersifat spekulatif.

8. Hakikatnya, setiap projek Pusat Data yang diluluskan telah dan sedang melalui penilaian teknikal yang ketat, melibatkan pelbagai agensi berkaitan, termasuk keperluan tenaga, bekalan air, kelestarian alam sekitar serta keupayaan infrastruktur sedia ada.

9. Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa keperluan asas rakyat Johor tidak pernah dan tidak akan dikompromi. Perancangan utiliti dilaksanakan secara berfasa, terkawal dan selari dengan kapasiti semasa serta perancangan jangka panjang negeri.

10. Justeru, dakwaan bahawa pembangunan ini dilaksanakan secara tergesa-gesa atau semberono adalah tidak benar dan jelas bermotifkan politik sempit.

11. Kerajaan Negeri memahami kebimbangan yang disuarakan oleh penduduk setempat. Kegusaran ini wajar didengar dan ditangani melalui dialog berfakta, saluran rasmi serta pendekatan yang rasional dan matang. Namun, kemajuan tidak boleh dicapai sekiranya pembangunan ditolak berasaskan ketakutan yang dimanipulasi atau sentimen yang ditokok tambah tanpa sandaran fakta.

12. Johor memilih untuk melangkah ke hadapan— berpaksikan perancangan strategik, bukan retorik; berteraskan fakta, bukan ketakutan, demi memastikan kemajuan negeri seiring dengan kesejahteraan rakyat.

13. Marilah kita menilai isu pembangunan Pusat Data ini dengan akal yang waras, fakta yang jelas dan sikap yang bertanggungjawab, demi masa depan Johor yang lebih moden, berdaya tahan dan makmur

MOHD HAIRI MAD SHAH
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Pembangunan Usahawan & Koperasi Negeri Johor

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO