CEO Baharu Diharap Teruskan Agenda Pengukuhan FELCRA – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Pelantikan Mohamed Ismi Abdul Majid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu FELCRA Berhad (FELCRA) diharap dapat meneruskan agenda pengukuhan keupayaan organisasi itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam hantaran melalui Facebook, hari ini, berkata Mohamed Ismi mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang pengurusan organisasi serta perakaunan dan kewangan untuk dimanfaatkan oleh FELCRA.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, usaha itu penting terutama dalam memastikan kesejahteraan peserta FELCRA terus diberi perhatian, selain memperkasakan pembangunan luar bandar secara mampan.

“Dengan komitmen seluruh warga FELCRA serta kerjasama semua pihak, saya yakin organisasi ini akan terus bergerak lebih progresif dan kekal menjadi institusi yang membawa manfaat besar kepada warga peserta serta pembangunan luar bandar negara,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada Mohamed Ismi.

Mohamed Ismi menggantikan Datuk Idris Lasim yang bersara pada awal Disember lalu selepas lebih tiga dekad berkhidmat bersama FELCRA. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO