Tahun Baharu Cina: TokMat Hasan Sampaikan Sumbangan, Tanda Kebersamaan Antara Kaum

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyampaikan sumbangan sempena Sambutan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat di Parlimen Rembau sebagai tanda kebersamaan antara kaum.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memulakan jadual turun padang dengan menyampaikan beberapa bantuan di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Khamis.

“Memulakan jadual turun padang dengan menyampaikan sumbangan bantuan untuk warga emas 70 tahun ke atas, bantuan am, bantuan menyambung pelajaran dan bantuan perubatan bertempat di Pejabat DUN Rantau.

“Saya juga telah ke beberapa lokasi lagi dalam Parlimen Rembau untuk menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina yang bakal tiba,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO telah menyampaikan sumbangan berupa limau mandarin dan angpau dan berharap ia dapat menceriakan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini.

“Selesai serahan sumbangan di Pejabat DUN Rantau, saya ke Dewan Orang Ramai Rantau pula untuk menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada persatuan-persatuan Cina dan rumah berhala dalam Parlimen Rembau serta warga emas DUN Rantau.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, sedikit buah tangan berupa limau mandarin dan sumbangan angpau disampaikan sebagai tanda ingatan serta kebersamaan agar tiada masyarakat yang tersisih.

“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menceriakan sambutan Tahun Baharu Cina kepada penerima-penerima di kalangan warga emas ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar keharmonian dan semangat kebersamaan terus terpelihara.

“Selesai di Dewan Orang Ramai di Rantau, terus ke Pekan Kuala Sawah untuk menyampaikan sumbangan angpau sempena Tahun Baharu Cina kepada warga emas dari kawasan sekitar.

“Diharapkan agar sumbangan ini dapat menceriakan penerima warga emas dan menceriakan mereka menyambut perayaan pada minggu hadapan.

“Moga keharmonian serta semangat kebersamaan terus terpelihara dalam komuniti kita,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO