Memperkukuh Sektor Agrikomoditi Melalui Pendekatan Strategik – Noraini
KUALA LUMPUR, 13 Feb – Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan komitmen kementeriannya untuk memperkasa sektor agrikomoditi negara menerusi langkah yang lebih tersusun, progresif dan berorientasikan masa depan.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, perancangan yang rapi diperlukan bagi memastikan sektor ini terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global serta perubahan landskap pasaran semasa.
“Keperluan untuk terus memperkukuh sektor agrikomoditi melalui pendekatan yang lebih strategik, berimpak tinggi dan berpandangan jauh.
“Usaha ini penting bagi memastikan daya saing negara kekal kukuh, di samping memastikan manfaat pembangunan sektor ini dapat dirasai secara langsung oleh rakyat,” katanya.
Noraini berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Pemukiman Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) 2026 yang bertemakan “Transformasi Komoditi, Rakyat Sejahtera”.
Menurut beliau mesyuarat ini menghimpunkan barisan pengurusan tertinggi kementerian, ketua-ketua agensi, Ketua Pegawai Eksekutif majlis serta pegawai kanan sebagai platform penting untuk memperhalusi hala tuju strategik sektor agrikomoditi negara bagi tahun 2026.
Sementara itu Noraini turut menyifatkan mesyuarat pemukiman ini menjadi ruang untuk menilai kedudukan semasa sektor agrikomoditi, mengenal pasti ruang penambahbaikan serta menyusun semula keutamaan kerja kementerian agar lebih tersasar dan efektif.
“Perbincangan memberi fokus kepada peningkatan produktiviti, pengukuhan rantaian nilai, kecekapan penyampaian perkhidmatan serta pemerkasaan inovasi dan teknologi dalam keseluruhan ekosistem agrikomoditi negara.
“Keseluruhan perancangan yang dibincangkan diselaraskan dengan lima teras utama Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN2030) serta aspirasi Malaysia MADANI, dengan harapan transformasi sektor komoditi dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan kesejahteraan rakyat yang berterusan,” ujar beliau. – UMNO Online
