Semangat Sukan Dan Tradisi Satukan Komuniti Muar – Mohd Helmy
KUALA LUMPUR, 13 Feb – Naib Ketua UMNO Bahagian Muar, Mohd Helmy Abd Latif berbesar hati turun padang bagi menyantuni masyarakat setempat menerusi penganjuran program komuniti yang mengangkat nilai tradisi dan semangat kebersamaan.
Beliau memanfaatkan peluang tersebut dengan menghadiri program Funwalk Tradisional 2026 yang berlangsung di Padang Kampung Parit Sakai Laut, sebagai platform merapatkan hubungan bersama penduduk kampung dalam suasana santai dan harmoni.
“Saya turun ke Padang Kampung Parit Sakai Laut untuk bersama dalam Funwalk Tradisional 2026, program santai yang penuh dengan semangat kebersamaan dan budaya tradisi.
“Pagi dimulakan dengan aktiviti pemanas badan, seterusnya funwalk berpakaian tradisional, basikal dan beca klasik, pelbagai pertandingan komuniti, cabutan bertuah dan jamuan potluck bersama.
“… yang paling penting, dapat berjumpa dan bersembang santai dengan masyarakat setempat. Inilah kekuatan kebersamaan masyarakat kampung dengan ukhwah, aktif dan penuh semangat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu menerusi perkongsian berbeza beliau turut sama berkesempatan merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sulaiman Ninam Shah Kali Ke-38 Tahun 2026.
Mohd Helmy pada kejohanan tersebut meluahkan keterujaan dengan semangat luar biasa para pelajar yang beraksi di padang dengan penuh tenaga, disiplin dan semangat berpasukan.
“Inilah semangat dan tujuan sebenar sukan. Daripada bersukan kita dapat membina jati diri, menguji ketahanan mental dan menyatukan semua.
“Saya titipkan pesan kepada semua pelajar aktiflah bersukan, kejar impian setinggi mungkin, tetapi jangan sesekali abaikan pelajaran. Seimbangkan akademik dan kokurikulum, paling penting hormati guru serta ibu bapa, dan terus berusaha menjadi insan yang cemerlang dalam semua bidang.
“Semoga satu hari nanti daripada padang SMK Tun Sulaiman Ninam Shah ini akan lahir seorang lagi atlet negara yang mengibarkan Jalur Gemilang di arena antarabangsa,” ujar beliau. – UMNO Online
