RUU RTS Link Johor-Singapura Sebagai Model … Sabah Jangan Dipinggirkan Dalam Agenda Infrastruktur
KUALA LUMPUR, 12 Feb – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching berharap agar Rang Undang-Undang (RUU) Rapid Transit System (RTS) dijadikan sebagai model untuk membangunkan Sabah dalam agenda infrastruktur.
Ujarnya, projek RTS yang terletak di Johor itu banyak memberi manfaat langsung kepada rakyat di selatan tanah air dan juga seluruh negara.

“Walaupun projek RTS ini terletak di Johor dan memberi manfaat langsung kepada rakyat di selatan tanah air, impaknya sebenarnya bersifat nasional. Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan mempunyai banyak sempadan antarabangsa, termasuk di Sabah yang bersempadan dengan Indonesia dan Filipina.
“Sabah berdepan cabaran keselamatan rentas sempadan kompleks, termasuk isu penyeludupan dan pergerakan keluar masuk yang memerlukan pengurusan cekap serta kerjasama antarabangsa yang berkesan.
“RUU ini boleh menjadi model perundangan sekiranya pada masa hadapan Malaysia membangunkan kemudahan CIQ bersama atau sistem pengangkutan rentas sempadan di wilayah lain termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Pada masa sama, saya berharap pembangunan infrastruktur strategik seperti ini turut diseimbangkan dengan keperluan negeri-negeri di Borneo, termasuk pemodenan sistem kereta api di Sabah, penambahbaikan pelabuhan dan pengukuhan infrastruktur keselamatan sempadan. Keseimbangan pembangunan antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak mesti terus menjadi komitmen kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Parlimen sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau turut mengambil perhatian terhadap peruntukan berkaitan perlindungan dan keistimewaan yang diberikan kepada pegawai penguat kuasa Republik Singapura semasa melaksanakan tugas rasmi di kawasan ditetapkan.
“Walaupun peruntukan seperti ini adalah amalan lazim dalam kerjasama antarabangsa dan penting bagi memastikan pegawai dapat menjalankan tugas tanpa gangguan yang tidak wajar, pelaksanaannya perlu sentiasa dipantau dengan teliti.
“Mekanisme pemantauan dan aduan perlu jelas supaya tidak berlaku salah guna kuasa serta memastikan setiap tindakan yang diambil sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur operasi yang ditetapkan.
“Perlindungan yang diberikan hendaklah difahami sebagai perlindungan dalam menjalankan tugas secara sah, dan bukan kekebalan mutlak daripada pertanggungjawaban,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan RUU RTS Link Johor Bahru–Singapura merupakan satu langkah progresif yang menguatkuasakan kewajipan antarabangsa Malaysia.
“Selain itu, ia turut memperkukuh keselamatan sempadan, menyediakan kepastian undang-undang dan menyokong integrasi ekonomi antara dua negara jiran yang mempunyai hubungan dagang yang amat erat.
“Saya menyokong RUU ini dengan harapan bahawa semangat kerjasama strategik ini akan terus diperluas dan dalam masa yang sama pembangunan infrastruktur serta keselamatan sempadan di negeri-negeri lain termasuk Sabah turut diberi perhatian yang adil dan saksama,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
