RM18,250 Sumbangan Ringankan Beban Rakyat, ADUN Jeram Padang Terus Komited

JEMPOL, 11 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Pusat Khidmat ADUN Jeram Padang yang berlangsung di pejabat Pusat Khidmat ADUN Jeram Padang, baru-baru ini.

Melalui majlis tersebut, sebanyak RM18,250.00 peruntukan sumbangan telah disampaikan kepada para penerima yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), belia yang melangsungkan perkahwinan, individu yang mengalami masalah kesihatan, pihak sekolah, persatuan serta penerima lain yang layak.

Mohd Zaidy berkata, sumbangan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Pusat Khidmat ADUN Jeram Padang dalam membantu meringankan beban rakyat serta memastikan kebajikan masyarakat di kawasan DUN Jeram Padang sentiasa diberi perhatian.

“Semoga sumbangan yang disampaikan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dan memberi sedikit kelegaan kepada para penerima,” katanya.

Menurut beliau, program seumpama ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa sebagai usaha mendekati rakyat serta memahami keperluan masyarakat setempat.

Tegasnya, pelbagai cadangan dan penambahbaikan sentiasa dilaksana bagi memastikan setiap perancangan dapat disusun dengan lebih teratur serta dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan demi manfaat penduduk di kawasan DUN Jeram Padang.

“Majlis penyampaian tersebut adalah antara usaha berterusan Pusat Khidmat ADUN Jeram Padang dalam memperkukuh hubungan bersama masyarakat serta memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO