Ahmad Zahid Ajak Rakyat Terokai Destinasi Indah Negara Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026
KUALA LUMPUR, 11 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak semua untuk meneroka destinasi indah dan pelbagai aktiviti yang menarik di negara kita sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau berkata demikian menerusi laman Facebooknya selepas berkesempatan menyusuri keindahan Tasik Kenyir melalui pengalaman eko pelancongan di Kenyir Geopark bersama ahli-ahli MPT KKDW, termasuk menaiki ‘cruise’ sambil menikmati panorama alam semula jadi.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 saya ingin mengajak semua untuk meneroka destinasi indah dan pelbagai aktiviti yang menarik di negara kita,” katanya.
Dalam lawatan itu, beliau turut singgah ke Taman Herba Kenyir di bawah kendalian KETENGAH yang menempatkan pelbagai spesies tanaman herba sebagai khazanah warisan alam. Pengunjung juga berpeluang merasai minuman herba asli seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan Mahkota Dewa yang disediakan secara percuma.
Di Taman Herba tersebut, beliau bersama Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang menyempurnakan gimik penanaman pokok Tongkat Ali Putih dan Mahkota Dewa sebagai simbol komitmen memelihara khazanah biodiversiti negara serta memperkasa potensi eko pelancongan berasaskan sumber alam semula jadi.
Ahmad Zahid berkata, pengalaman itu amat bermakna dan Tasik Kenyir membuktikan potensi besar sebagai destinasi eko pelancongan bertaraf antarabangsa dengan keindahan alam semula jadi serta pelbagai tarikan unik. – UMNO Online
