Keberanian SPRM Tingkatkan Keyakinan Rakyat Terhadap Kerajaan Madani – Mohd Asna
KUALA LUMPUR, 12 Feb – Timbalan Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin, menggesa Kerajaan Madani supaya terus mempertahankan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) demi memastikan agenda pembanterasan rasuah negara kekal konsisten dan berkesan.
Menurutnya, sejak dilantik pada Mac 2020, beliau telah menunjukkan ketegasan serta keberanian luar biasa dalam membanteras rasuah termasuk mendedahkan pelbagai kes berprofil tinggi yang melibatkan tokoh-tokoh penting negara.
“Tindakan tegas ini sememangnya tidak disenangi sesetengah pihak, namun ia membuktikan komitmen beliau terhadap prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang.
“Dalam tempoh lima tahun SPRM dibawah Tan Sri Azam Baki telah berjaya menyita sejumlah RM3,54 billion dan telah melucut hak harta bernilai RM27,87 billion. Semua wang ini masuk kembali ke dalam kantung negara untuk diberi kembali kepada rakyat.
“Dengan ketegasan SPRM dibawah pimpinan beliau, penjawat awam yang mempunyai kuasa akan rasa gentar untuk melakukan salah guna kuasa. Negara mula kembali ke landasan yang betul, negara yang bebas rasuah adalah negara yang kuat, maju, kaya raya dan di segani di peringkat dunia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, rasuah menjahanamkan negara dan merosakkan segala sistem pentadbiran Negara.
“Lebih teruk lagi, sekiranya badan-badan yang sepatutnya menjaga kepentingan dan keselamatan Negara membuat sesuatu yang menjahanamkan Negara demi sedikit habuan dari perasuah,” jelasnya.
Asna yang juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Negeri Sembilan menyifatkan kepimpinan Azam Baki sebagai berada dalam ‘zon perang’ memerangi rasuah yang diibaratkan seperti anai-anai yang meruntuhkan rumah sekiranya tidak dibanteras.
“Saya yakin dengan segala tindakan Azam Baki pada hari ini, tanpa sedar beliau telah mencipta ramai musuh. Beliau dan seluruh jentera SPRM berada di dalam ‘zon perang’.
“Perang beliau untuk mengangkat Malaysia menjadi negara yang kuat berdaulat. Rasuah umpama anai-anai yang meruntuhkan rumah sekiranya tidak di basmi. Musuh akan menyerang beliau kiri kanas atas bawah dan dari segenap penjuru.
“Justeru itu, kerajaan Madani wajib pertahankan ‘Jeneral Perang’ kita. Sekiranya kita mempunyai Jeneral Perang yang begitu berani, tegas dan mampu membawa kemenangan, kenapa kita harus tukar,” ujarnya.
Seterusnya kata Asna lagi, rakyat Malaysia mula memberi kepercayaan dan sokongan yang tinggi terhadap Kerajaan Madani atas usaha yang berterusan dalam membasmi rasuah.
“Ke mana sahaja saya pergi berjumpa rakyat, pasti rakyat bercerita terhadap keberanian SPRM menangkap jerung-jerung yang merosakkan negara dan rakyat mula memuji di atas keberanian ini.
“Sokongan rakyat bertambah kuat, janji Madani untuk membanteras rasuah terbukti benar dengan usaha-usaha yang berterusan dan bukan sekadar retorik politik. Saya selaku wakil rakyat kerajaan turut berasa bangga,” tegasnya. – UMNO Online
