Bekalan Air Johor Terjejas Akibat Cuaca Kering, Kerajaan Negeri Laksana Pelbagai Inisiatif Segera

JOHOR BAHRU, 10 Feb – Kerajaan Negeri Johor sedang menggerakkan pelbagai langkah kecemasan bagi menangani gangguan bekalan air susulan fenomena cuaca kering berpanjangan yang menyebabkan paras Sungai Benut berada pada tahap minimum serta Empangan Machap jatuh di bawah paras operasi selamat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata keadaan itu menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam yang kini hanya mampu beroperasi sekitar 34 peratus kapasiti.

Katanya, walaupun keadaan berpunca daripada fenomena cuaca kering berpanjangan, Kerajaan Negeri telah dan sedang menggerakkan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kesan kepada rakyat termasuk pengukuhan operasi loji rawatan air apabila LRA Yong Peng menyalurkan tambahan empat juta liter sehari (JLH) untuk menstabilkan bekalan.

“Saya sedar segala usaha ini belum mampu menghilangkan sepenuhnya kesulitan yang dirasai. Tetapi percayalah, setiap agensi bekerja tanpa henti supaya tiada rakyat Johor yang dibiarkan tanpa bantuan,” katanya.

Berikut ialah antara inisiatif yang sedang dilaksanakan:

1. Pengukuhan Operasi Loji Rawatan Air
– Loji Rawatan Air (LRA) Yong Peng menyalurkan tambahan 4 Juta Liter Sehari (JLH) bagi membantu menstabilkan bekalan.

– Pemasangan sistem pontoon di Empangan Machap sedang dilaksanakan untuk menyalurkan tambahan sehingga 20 JLH ke Sungai Benut bagi menyokong operasi LRA Simpang Renggam

2. Mobilisasi Lori Tangki Air
– 28 lori tangki air sedang beroperasi di Kluang & Pontian
– Tambahan 14 lori tangki air dari luar Johor sedang dalam perjalanan dan dijangka tiba hari ini.
– Bantuan negeri lain turut menyumbang 15 lori tangki tambahan (kapasiti 5–7m³) khusus untuk kawasan Pontian & Simpang Renggam.

3. Penempatan Tangki Air Statik
– Sebanyak 41 tangki air statik telah ditempatkan di lokasi keutamaan bagi membantu komuniti terjejas, melibatkan 9 lokasi di Kluang serta 32 lokasi di Pontian bagi memastikan akses air asas terus tersedia kepada kumpulan berkeperluan.

4. Bantuan Bekalan Minuman dimana pengedaran air mineral sedang difokuskan kepada kawasan hujung sistem dan komuniti berisiko tinggi seperti sekolah, klinik dan penempatan padat.

5. Operasi Pembenihan Awan
– Dijadualkan pada 11, 12 dan 15 Februari 2026 di Empangan Machap, Layang dan Ulu Sungai Sedili Kecil yang dilaksanakan bersama NADMA, METMalaysia dan TUDM sebagai usaha meningkatkan peluang hujan di kawasan tadahan air.

Menurut Onn Hafiz, semua agensi berkaitan sedang bekerja tanpa henti bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Beliau turut menyeru orang ramai agar menggunakan air secara berhemah serta menyalurkan maklumat segera sekiranya terdapat kawasan yang memerlukan perhatian.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT menurunkan hujan rahmat, memenuhkan kembali sungai dan empangan kita, serta mempermudahkan urusan rakyat Johor,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO