Ketahanan Demokrasi: Azalina Bentang Kerangka Akauntabiliti Madani Di Fiji

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said telah membentangkan Kerangka Akauntabiliti Madani dalam melaksanakan konsep ‘Ketahanan Demokrasi’ di Fiji, Jepun pada Isnin.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia memaklumkan bahawa Konsep Ketahanan Demokrasi Pelan Mesyuarat Menteri-Menteri Undang-Undang Komanwel (CLMM) memfokuskan tiga elemen utama.

“Bertepatan dengan topik ‘Democratic Resilience’ atau Ketahanan Demokrasi pada Sesi I CLMM 2026 di Fiji, saya telah membentangkan Kerangka Akauntabiliti Madani yang merumuskan langkah proaktif Kerajaan Madani dalam melaksanakan konsep ‘Ketahanan Demokrasi’ melalui agenda reformasi institusi yang menyeluruh.

“Konsep Ketahanan Demokrasi Pelan CLMM 2025-2030 memfokuskan tiga elemen utama – pengukuhan institusi yang bebas (termasuk badan-badan kehakiman, perundangan, pilihan raya dan pihak berkuasa awam); ekosistem maklumat yang dipercayai dan berwibawa, terutamanya dalam persekitaran digital; dan penyertaan rakyat yang bermakna dalam proses demokrasi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Madani sentiasa komited untuk merealisasikan agenda reformasi dan tatakelola.

“Ini adalah seiring dengan Kerangka Akauntabiliti Madani yang menerapkan nilai-nilai dalam pelaksaan inisiatif seperti pengukuhan institusi Parlimen; pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya; pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri (PM); penubuhan Ombudsman; penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dan pemerkasaan perlindungan dalam ruang digital melalui undang-undang keselamatan dalam talian dan antibuli. Kesemuanya dilaksanakan dengan penyertaan rakyat yang bermakna melalui proses libat urus awam.

“Saya juga mempertegas komitmen utuh Kerajaan Madani pimpinan PMX, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merealisasikan agenda reformasi dan tatakelola.

“Buktinya, hanya dalam tempoh tiga tahun Kerajaan Madani mentadbir, inisiatif signifikan seperti di atas telah pun dilaksanakan. Semua ini demi tadbir urus yang lebih telus, berakauntabiliti dan berdaya tahan — untuk kepercayaan rakyat dan masa depan negara,” katanya lagi.

Untuk rekod, CLMM 2026 menghimpunkan wakil negara-negara anggota Komanwel untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan sistem perundangan, tadbir urus dan pengukuhan institusi demokrasi.

Persidangan yang berlangsung di Fiji ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerangka perundangan dalam mendepani cabaran global termasuk kemajuan teknologi, keselamatan siber dan keperluan meningkatkan ketelusan serta integriti institusi kehakiman. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO