Mohamad Hasan Hadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Mengenai Mineral Kritikal Di Washington

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menghadiri Mesyuarat Mineral Kritikal Menteri-Menteri Luar Negeri yang berlangsung di United States Department of State, sekali gus menzahirkan komitmen Malaysia terhadap keselamatan dan kelestarian rantaian bekalan mineral kritikal di peringkat global.

Dalam sesi plenari mesyuarat tersebut, Mohamad menegaskan bahawa keselamatan mineral kritikal merupakan tanggungjawab bersama komuniti antarabangsa, memandangkan kepentingannya yang semakin meningkat dalam pembangunan teknologi, peralihan tenaga dan pertumbuhan ekonomi dunia.

“Keselamatan mineral kritikal adalah tanggungjawab bersama komuniti antarabangsa. Malaysia komited untuk bekerjasama dengan negara-negara yang sehaluan bagi membangunkan rantaian bekalan yang bertanggungjawab, mampan dan berdaya tahan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama strategik dengan rakan-rakan antarabangsa serta berkongsi pendirian Malaysia dalam memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan amalan mampan sepanjang rantaian nilai mineral kritikal.

Menurut beliau, Malaysia bersedia memainkan peranan aktif dalam memperluas kerjasama pelbagai hala bagi memastikan bekalan mineral kritikal kekal stabil, selamat dan memberi manfaat bersama kepada semua pihak.

Mohamad melakukan lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS) dari 3 hingga 4 Feb atas jemputan Setiausaha Negara AS Marco Rubio, untuk menghadiri Mesyuarat Mineral Kritikal Menteri-Menteri Luar di Washington, D.C. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO