Utamakan Kebajikan Warga KL, Bukan Pilihan Raya Datuk Bandar – Gulam Muszaffar

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Cadangan mengkaji pelaksanaan pilihan raya bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur disifatkan bukan keutamaan mendesak ketika warga Wilayah Persekutuan masih berdepan pelbagai isu asas yang menjejaskan kualiti hidup harian.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar berkata, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting dan memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat berbanding memfokuskan kepada cadangan politik seperti pemilihan Datuk Bandar.

Menurut beliau, antara isu yang perlu diberi perhatian segera termasuk masalah banjir kilat, kesesakan trafik, kekurangan perumahan mampu milik, keberkesanan pengangkutan awam, vandalisme serta kebanjiran warga asing di beberapa lokasi tumpuan perniagaan seperti Pasar Borong Selayang dan sekitar Lebuh Ampang serta Medan Tunku.

“Ini semua perkara asas yang menyentuh kehidupan harian rakyat. Keutamaan kerajaan seharusnya menyelesaikan masalah ini terlebih dahulu demi kebajikan dan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keperluan untuk mempercepatkan kajian berhubung pilihan raya Datuk Bandar serta menuntut jaminan ketelusan dalam pelaksanaannya, termasuk proses pemilihan perunding atau syarikat kajian.

Katanya, sebarang kajian yang dijalankan perlu bebas, telus dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan supaya keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan kehendak rakyat.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu memastikan pembangunan bandar dilaksanakan secara adil dan seimbang tanpa mengira demografi atau latar belakang kawasan Parlimen.

“Yang lebih penting ialah memastikan Kuala Lumpur terus maju, selamat dan selesa untuk didiami, bukannya menambah polemik politik baharu,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO