Komitmen Presiden Perkukuh SPU, Lahirkan Produk UMNO Berkualiti – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Kekuatan Sekolah Patriotik UMNO (SPU) terus diperkukuh hasil komitmen padu serta sokongan berterusan daripada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali gus membolehkan institusi latihan kepimpinan itu melahirkan barisan kader yang berkualiti dan berdaya saing untuk masa depan UMNO.

Naib Presiden UMNO Pengerusi Lembaga Pengelola SPU, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kehadiran serta kesungguhan Presiden bersama warga SPU bukan sahaja memberi ilham, malah membuktikan komitmen sebenar kepimpinan tertinggi parti dalam memastikan kejayaan sekolah berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kesudian Presiden bersama kita dan ini jelas bahawa Presiden bukan sahaja beri ilham malah beri komitmen untuk bersama-sama,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Satu Tahun Pertubuhan SPU yang diadakan di sini, malam tadi dengan disempurnakan kehadiran Ahmad Zahid.

Menurut Wan Rosdy, penubuhan SPU bukanlah sesuatu yang mudah, namun hasil kesungguhan semua pihak serta sokongan kepimpinan parti, sekolah tersebut berjaya direalisasikan dan kini menjadi platform penting dalam membentuk kepimpinan pelapis UMNO.

“Kekuatan Sekolah Patriotik UMNO adalah kerana adanya komitmen sokongan dari Presiden. Ia bukan mudah untuk lahirkan SPU. Produk SPU cukup berkualiti dan menjadi kebanggaan kepada parti,” ujarnya.

Dalam majlis terbabit, seramai 158 graduan dihimpunkan setalah berjaya dilahirkan melalui program berkenaan dan mereka diyakini mampu menjadi benteng parti serta memainkan peranan penting menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Wan Rosdy turut berpesan agar semua graduan SPU terus membuktikan kemampuan masing-masing serta memanfaatkan ilmu dan latihan yang diperoleh demi memperkukuh perjuangan parti.

“Tunjukkan kebolehan. Jadikan produk SPU ini kebanggaan kepada kita semua,” katanya lagi.

Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan SPU dan berharap usaha memperkasa sekolah tersebut akan diteruskan demi masa depan UMNO.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Sekolah Patriotik UMNO selain jawatankuasa SPU. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO