UMNO Perlu Keluar Dari Zon Selesa, Cipta ‘Keluarbiasaan’ – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 1 Feb – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu keluar daripada kepompong kebiasaan serta zon selesa dengan mencipta pendekatan luar biasa bagi memastikan parti terus relevan menjelang masa depan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika parti kini mencecah usia 80 tahun, UMNO tidak mahu dilihat sebagai sekadar ‘grand old party ‘atau parti lama yang semakin lemah.

Menurut beliau yang juga Pengerusi BN, usia yang semakin meningkat lazimnya disertai pelbagai cabaran dan ‘penyakit’, bukan sahaja kepada individu, malah organisasi termasuk parti politik.
“Kita mesti keluar daripada kebiasaan. Kita mesti mencipta keluarbiasaan. Keluarbiasaan ini mustahil dicipta oleh hanya seorang atau sekumpulan kecil pemimpin,” katanya.
Beliau menegaskan, UMNO perlu berani meninggalkan nilai-nilai tradisional yang mengongkong serta melakukan perubahan secara menyeluruh sebagai satu keperluan, bukan pilihan.
Katanya, perancangan parti harus dilihat jauh ke hadapan sehingga tahun 2046, iaitu ketika UMNO mencapai usia 100 tahun.
“Saya bukan sekadar membayangkan, tetapi mahu kita merangkul realiti apabila menyambut ulang tahun ke-100. Ketika itu mungkin saya sudah tiada, namun perjuangan parti mesti terus hidup,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Satu Tahun Pertubuhan Sekolah Patriotik UMNO (SPU) yang diadakan di sini, malam ini.

Tambah Ahmad Zahid, generasi masa depan khususnya generasi alfa dan beta tidak lagi mahu bernostalgia dengan sejarah lama, sebaliknya menuntut pendekatan baharu yang lebih segar dan relevan.
Menurutnya, perjuangan UMNO tidak boleh hanya bergantung kepada semangat dan tepukan semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh dengan nilai intelektual, emosi dan spiritual.
“Dulu kita bercakap tentang IQ dan EQ, sekarang kita bercakap tentang ESQ, iaitu nilai keagamaan dan spiritual,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan perancangan secara ‘backward planning’ untuk tempoh 20 tahun akan datang, termasuk menyusun SPU dengan modul-modul yang tersusun sebagai sebahagian daripada gerakan massa parti.
Jelasnya SPU adalah antara perancangan bagi UMNO bagi meraih kejayaan pada masa hadapan kekal dalam arena politik.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Patriotik UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Sekolah Patriotik UMNO selain jawatankuasa SPU. – UMNO Online
