MINDEF Komited Sokong Usaha Murni Berteraskan Ilmu, Muafakat

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Kementerian Pertahanan (MINDEF) komited untuk terus menyokong usaha murni berteraskan ilmu dan muafakat bersama masyarakat, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO telah menghadiri Majlis Penutup Program Ilmu dan Muafakat (PIKAT) Siri 1 pada Sabtu.

“Menghadiri Majlis Penutup PIKAT Siri 1 Tahun 2026 di Masjid Makmur Ummah Cemerlang, Kampung Tuan Seh, Sedili, Kota Tinggi, sempena Program Kampung Angkat Madani.

“PIKAT merupakan usaha berterusan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia melalui Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) berasaskan pendekatan kerjasama awam-tentera (CIMIC) bagi mendekati masyarakat setempat melalui pengisian ilmu dan program kemasyarakatan.

“Pelbagai pengisian bermakna dilaksanakan melalui PIKAT di sini termasuk program motivasi pelajar, khutbah Jumaat, ceramah perdana, klinik rawatan Islam dan kursus kefahaman faraid, yang melibatkan lebih 1,000 peserta, termasuk dalam kalangan pelajar, jemaah masjid serta penduduk sekitar Kota Tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memaklumkan beliau juga telah menyampaikan Sumbangan Kotak Rezeki pada program tersebut.

“Dalam majlis ini, saya juga sempat menyampaikan Sumbangan Kotak Rezeki kepada penerima yang memerlukan.

“Kementerian Pertahanan komited untuk terus menyokong usaha murni berteraskan ilmu dan muafakat bersama masyarakat agar kebersamaan tentera serta rakyat terus diperkasakan demi kesejahteraan negara. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO