MyGIG Hargai Keprihatinan TPM, Terus Suarakan Isu Pemandu E-Hailing
KUALA LUMPUR, 30 Jan – Setiausaha Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGIG), Fairuz Jamaluddin merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, atas kesediaannya untuk duduk semeja dan mendengar secara langsung keluhan serta permasalahan yang dihadapi pemandu e-hailing di negara ini.
Menurut Fairuz, Ahmad Zahid yang teliti dan berjiwa rakyat membuktikan komitmen kepimpinan kerajaan dalam memastikan kebajikan golongan pekerja gig tidak terus terpinggir.
“Jarang kita berpeluang bertemu pemimpin yang benar-benar sanggup meneliti satu persatu isu yang membelenggu pemandu e-hailing. Sikap prihatin TPM memberi harapan besar kepada kami,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Dalam pertemuan tersebut, Presiden Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGIG), Datuk Seri Sharkar Shamsudin, telah menyampaikan secara terperinci hasrat dan cadangan pemandu e-hailing kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, merangkumi tiga tuntutan utama.
Antaranya ialah keperluan untuk menghentikan sistem “bidding” yang disifatkan membunuh harga pasaran sehingga menyebabkan pemandu terpaksa menanggung kerugian akibat kadar tambang yang terlalu rendah.
Selain itu, MyGIG turut mendesak kerajaan agar mengawal harga insurans e-hailing yang kini meningkat secara mendadak dan disifatkan tidak munasabah serta membebankan pemandu.
MyGIG juga menegaskan keperluan mendesak untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan khusus bagi melindungi kebajikan, hak dan kelangsungan ekonomi pekerja gig.
Fairuz berkata, TPM menunjukkan komitmen jelas untuk menyegerakan penubuhan SEGiM, sekali gus memberi isyarat positif terhadap usaha memperkukuh ekosistem ekonomi gig negara.
Kehadiran pimpinan MTUC, iaitu En. Kamarul Baharin dan Datuk Mohamed Dauzkaply, turut menguatkan hujah bahawa pemandu gig amat memerlukan perlindungan menyeluruh dan dasar yang lebih adil.
“Terima kasih TPM kerana sudi menjadi payung untuk kami berteduh. Perjuangan ini belum selesai, namun langkah ini memberi sinar kepada pemandu e-hailing di seluruh negara,” katanya.- UMNO Online
