Malaysia Mesti Beralih Kepada Pembangunan Berasaskan Nilai
KUALA LUMPUR, 30 Jan – Malaysia mesti beralih daripada pertumbuhan berasaskan jumlah kepada pembangunan berasaskan nilai, kata Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau memaklumkan bahawa Malaysia mencatat pencapaian bersejarah pada tahun 2025 apabila jumlah perdagangan melepasi RM3 trilion.

“Pada Khamis saya telah menyampaikan ucaptama di Malaysia Economic Forum 2026 Outlook di MATRADE, membincangkan kedudukan Malaysia dalam persekitaran ekonomi global yang semakin kompleks dan mencabar.
“Malaysia mencatat pencapaian bersejarah pada tahun 2025 apabila jumlah perdagangan melepasi RM3 trilion, didorong oleh prestasi kukuh sektor E&E serta pertumbuhan berterusan dalam komoditi pertanian.
“Namun, tumpuan kita tidak boleh hanya pada angka. Malaysia mesti beralih daripada pertumbuhan berasaskan jumlah kepada pembangunan berasaskan nilai, menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan memperkukuh pemindahan teknologi kepada rakyat tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited untuk memperkukuh daya tahan ekonomi melalui kepelbagaian pasaran.
“Dalam suasana peningkatan perlindungan perdagangan dan ketidaktentuan dasar global, Kerajaan komited memperkukuh daya tahan ekonomi melalui kepelbagaian pasaran, pengukuhan rantaian bekalan domestik serta peningkatan produktiviti,” katanya lagi. – UMNO Online
