KKDW Luluskan RM320 Juta Untuk Pembinaan Jalan Baharu Pos Senderut – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah meluluskan RM320 juta untuk membina jalan baharu di Pos Senderut, Lipis, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Wan Rosdy memaklumkan bahawa beliau telah bersama-sama dengan masyarakat Orang Asli Pos Senderut dalam Majlis Santai Malam di Dataran Balai Pos Senderut, pada Khamis.

“Malam Khamis ini cukup istimewa kerana saya dapat bersama-sama dengan masyarakat Orang Asli Pos Senderut dalam Majlis Santai Malam di Dataran Balai Pos Senderut, Lipis. Macam-macam program diadakan untuk memeriahkan majlis ini.

“Ketika berucap, saya memaklumkan sebanyak RM320 juta telah diluluskan KKDW untuk membina jalan baharu di Pos Senderut.

“Terima kasih kepada semua masyarakat Pos Senderut kerana dapat hadir sehingga penuh Dataran Balai. Terima kasih juga kepada Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) kerana menganjurkan majlis yang cukup bermakna ini.

“Semoga penduduk di Pos Senderut dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan sejahtera serta menolak sebarang bentuk perkara yang boleh memecahkan perpaduan,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO telah turun padang untuk menyantuni masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut.

“Saya telah ke Pos Senderut, Lipis untuk menyantuni masyarakat Orang Asli di sana. Saya mulakan dengan menyantuni kanak-kanak Tabika Kampung Tual. Seronok dapat jumpa dengan mereka.

“Kemudiannya saya bertemu dengan penduduk Kampung Tual dan bertanya khabar keadaan mereka.

“Seterusnya dalam perjalanan menuju ke Pos Senderut, saya melihat lokasi kejadian sebuah jentera Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tergelincir di cerun bukit. Alhamdulillah, tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan mangsa berada dalam keadaan selamat.

“Semoga setiap langkah yang diambil hari ini menjadi pemangkin kepada kesejahteraan, keselamatan dan pembangunan yang lebih baik buat masyarakat Orang Asli di sini,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO