Rais Hargai Komitmen Kementerian Pertahanan Melalui Projek Jiwa Murni MADANI
MELAKA, 29 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, atas kesudian menghadiri Majlis Penyerahan Projek Jiwa Murni MADANI yang berlangsung di Masjid Al-Najwan, Cheng, baru-baru ini.
Majlis berkenaan melibatkan penyerahan projek pembinaan pagar tanah perkuburan bernilai RM50,000 yang ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pertahanan menerusi inisiatif Projek Jiwa Murni MADANI, sebagai usaha meningkatkan kemudahan awam serta kesejahteraan komuniti setempat di DUN Paya Rumput.

Menurut Datuk Rais Yasin, pelaksanaan projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memperkukuh hubungan awam dan warga tentera melalui pendekatan Civil-Military Cooperation (CIMIC), yang bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek keselamatan negara, malah menyentuh kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
“DUN Paya Rumput merupakan kawasan pertama di negara ini yang melaksanakan Projek Jiwa Murni MADANI pada tahun ini. Inisiatif murni seperti ini membuktikan bahawa pertahanan negara turut dibina melalui perpaduan rakyat, kestabilan sosial dan semangat kebersamaan,” katanya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian Bakul Rahmah kepada golongan memerlukan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan rakyat. Secara keseluruhan, sebanyak 17 Projek Jiwa Murni MADANI telah dilaksanakan di negeri Melaka dengan peruntukan RM850,000, daripada jumlah keseluruhan RM6 juta di peringkat nasional.

Dalam perkembangan berkaitan, Rais turut berkesempatan mengiringi Khaled dalam lawatan kerja rasmi ke Kem Terendak, Melaka, bagi meninjau secara langsung tahap kesiapsiagaan, kebajikan serta kemudahan warga Angkatan Tentera Malaysia.
Antara inisiatif utama yang diumumkan termasuk peruntukan RM16.9 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), kelulusan RM44 juta bagi pelaksanaan projek sistem retikulasi air baharu bagi memastikan bekalan air yang lebih stabil, serta sumbangan 470 unit komputer riba kepada lima buah sekolah dalam kem bagi memperkukuh pembelajaran digital anak-anak warga ATM.
Selain itu, Khaled turut mengadakan tinjauan ke tapak pembinaan Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak, sebuah projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dengan kos keseluruhan RM320 juta, yang bakal menjadi antara pusat rawatan utama bagi warga ATM dan keluarga mereka. – UMNO Online
