Langkah MBIP Ringankan Beban Peniaga Ramadan Di Iskandar Puteri – Khairy A. Malik
ISKANDAR PUTERI, 29 Jan – Bazar Ramadan di bawah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi tahun 2026 mencatat sejarah tersendiri apabila menawarkan kadar sewaan paling rendah berbanding Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di Daerah Johor Bahru.
Buat pertama kali, semua kawasan bazar Ramadan di bawah MBIP diselaraskan pada satu kadar sewaan sahaja iaitu RM270 bagi satu tapak, sekali gus menjadi kadar paling rendah sejak Iskandar Puteri dinaik taraf sebagai bandaraya.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairy A. Malik, inisiatif tersebut adalah hasil perjuangan bersama Ahli-Ahli Majlis MBIP dalam membuka peluang rezeki kepada peniaga Melayu dan usahawan kecil.
“Buat pertama kali semua bazar Ramadan di bawah MBIP diselaraskan pada satu kadar sewaan sahaja iaitu RM270 bagi satu tapak, yang merupakan kadar paling rendah sejak Iskandar Puteri dinaik taraf sebagai bandaraya,” katanya.
Beliau seterusnya berkata, pemilihan peniaga turut dilaksanakan dengan lebih telus dengan keutamaan diberikan kepada penduduk setempat di Iskandar Puteri.
“Pemilihan peniaga dibuat secara lebih telus dengan keutamaan kepada penduduk setempat bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh komuniti Iskandar Puteri.” katanya.
Beliau seterusnya berharap berharap agar para peniaga dapat mengekalkan harga jualan yang berpatutan agar nikmat Ramadan dapat dikongsi dan dirasai oleh semua lapisan masyarakat. — UMNO Online
