Rozabil Tegaskan Kebersamaan, Kesatuan Parti Asas Perjuangan UMNO
KUALA LUMPUR, 29 Jan – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman menegaskan bahawa usaha memperkukuh kebersamaan dan kesatuan dalam parti akan terus diperkasakan bagi memastikan perjuangan UMNO sentiasa berteraskan kepentingan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan bersama Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO Arau di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Guar Gajah dan Kubang Paya pada 24 dan 25 Januari lalu.
Menurut Rozabil, perjumpaan tersebut menjadi platform penting untuk menyelaras gerak kerja parti di peringkat akar umbi, selain mendengar pandangan serta denyut nadi rakyat setempat berhubung isu semasa.
“Kekuatan UMNO terletak pada kebersamaan dan kesatuan jentera di semua peringkat. Apabila kita bergerak seiring dan saling menyokong, perjuangan parti akan terus kekal relevan dan berpaksikan rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada kepimpinan Wanita UMNO Arau di bawah pimpinan Saudari Rozieana Ahmad, serta seluruh jentera Wanita di peringkat PDM Guar Gajah dan Kubang Paya atas komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan.
Rozabil menambah, peranan Wanita UMNO khususnya Jalinan Rakyat amat penting sebagai penghubung utama antara parti dan masyarakat, sekali gus memastikan suara rakyat terus didengari dan dibawa ke peringkat lebih tinggi.
“Insya-Allah, semangat kebersamaan ini akan terus diperkukuh demi memperjuangkan kepentingan rakyat dan masa depan UMNO,” ujarnya. – UMNO Online
