Kerajaan Perkukuh Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ekonomi Bumiputera ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bil. 1 Tahun 2026, yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri hari ini.
Menurutnya yang juga Presiden UMNO, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada usaha berterusan kerajaan dalam menjaga kepentingan dan membela nasib Bumiputera melalui pendekatan yang menyeluruh dan inklusif.

“Kerajaan MADANI komited memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dilaksanakan secara tersusun, berimpak tinggi, dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Terangnya, perbincangan dalam mesyuarat menekankan peranan strategik entiti berkaitan kerajaan dalam memperkasa pembangunan usahawan Bumiputera, termasuk pengukuhan sokongan melalui pendekatan berasaskan data serta peluasan inisiatif pembiayaan dan pemudahcaraan agar manfaatnya dapat dirasai secara meluas di semua peringkat.
“Kami mahu setiap program dan inisiatif yang dirangka bukan sahaja memberi manfaat jangka pendek tetapi juga membina daya tahan ekonomi Bumiputera untuk jangka panjang.”
Ujarnya lagi, mesyuarat MEB ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dilaksanakan secara tersusun, berimpak tinggi dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat. – UMNO Online
