Pendidikan Tinggi: Zambry Harap Penerokaan, Kerjasama Bidang AI Terus Diperkasa
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berharap agar penerokaan dan kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dapat terus diperkasakan.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Dr Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan telah menerima kunjungan daripada Head of Policy, APAC at OpenAI, Sandy Kunvatanagarn pada Rabu.

“Dalam dunia hari ini, hampir semua orang mengenali kecerdasan buatan atau AI. AI hadir dalam pelbagai bentuk dan aplikasi, termasuk platform seperti ChatGPT yang kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat global.
“Saya menerima kunjungan Sandy Kunvatanagarn, Head of Policy, APAC at OpenAI yang datang untuk berbincang dan membentangkan mengenai perkembangan pesat AI serta potensi kerjasama strategik dalam ekosistem pendidikan tinggi.
“Mahu atau tidak, kita sedang hidup dalam dunia realiti transformasi digital. Statistik menunjukkan lebih daripada 800 juta pengguna ChatGPT setiap hari, satu angka yang menggambarkan betapa pantas teknologi ini diterima dan dimanfaatkan,” katanya.
Tambahnya, perkembangan tersebut menuntut agar sistem pendidikan tinggi bergerak seiring untuk menghasilkan graduan yang berpengetahuan dan relevan dengan keperluan masa depan.

”Perkembangan ini menuntut sistem pendidikan tinggi untuk bergerak seiring, agar graduan yang dihasilkan bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga relevan dengan keperluan masa depan dan pada masa sama mempunyai nilai manusiawi.
“Banyak negara telah melangkah ke hadapan dengan menjadikan AI sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran, sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti. Pendekatan ini bukan sekadar memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran, malah membentuk pemikiran kritikal, kreativiti serta keupayaan adaptif pelajar.
“Kita berharap agar penerokaan dan kerjasama dalam bidang AI dapat terus diperkasakan. Saya juga telah meminta untuk semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) kita termasuklah politenik dan kolej komuniti untuk terlibat sama dalam membida peluang serta ruang AI ini insyaAllah,” katanya lagi. – UMNO Online
