Kerangka Akauntabiliti Madani Terjemah Usaha Agenda Reformasi Undang-Undang – Azalina

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Kerangka Akauntabiliti Madani akan menterjemah usaha dan inisiatif agenda reformasi undang-undang dan institusi kepada tindakan nyata bagi tahun 2026, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia memaklumkan beliau turut berbesar hati kerana Perdana Menteri (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudi meluangkan masa beramah mesra dengan beberapa pegawai pusat khidmat Parlimen Pengerang pada Selasa.

“Usai sesi Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), saya telah berkesempatan memberi taklimat kepada PMX mengenai Kerangka Akauntabiliti Madani yang akan menterjemah usaha dan inisiatif agenda reformasi undang-undang dan institusi kepada tindakan nyata bagi tahun 2026.

“Juga saya amat besar hati kerana PMX sudi luang masa beramah mesra dengan beberapa pegawai pusat khidmat Parlimen Pengerang P.157,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyaksikan upacara angkat sumpah Ahli Parlimen Kinabatangan baharu iaitu Mohd Kurniawan Naim Moktar sebagai Ahli Dewan Rakyat yang telah memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) minggu lalu.

“Pada sebelah pagi, saya di Parlimen untuk mengikuti PMQT berkaitan hal yang sedang hangat menjadi topik perbualan umum iaitu usia kemasukan pelajar darjah satu sama ada pada usia enam atau tujuh tahun yang telah dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebelum sesi PMQT, saya turut sama terharu menyaksikan upacara angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Kinabatangan baharu, iaitu YB Mohd Kurniawan Naim Moktar setelah memenangi kerusi tersebut pada PRK Parlimen Kinabatangan Sabtu lalu.

“Saya mendoakan dan berharap agar beliau dapat menjalankan amanah serta tanggungjawab sehabis baik seperti yang telah dilaksanakan oleh Allahyarham ayahanda beliau dahulu Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO