Malaysia Terus Diyakini Dunia, Jumlah Dagangan Melepasi RM3 Trilion – Reezal Merican

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Malaysia mencatat sejarah perdagangan apabila jumlah dagangan negara buat pertama kali melepasi RM3 trilion, satu pencapaian luar biasa dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, konflik geopolitik dan rantaian bekalan yang mencabar.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata kejayaan ini bukan berlaku secara kebetulan.

“Dalam keadaan dunia yang serba tidak menentu, ekonomi global, konflik geopolitik dan rantaian bekalan yang mencabar, Malaysia berjaya mencatat sejarah apabila jumlah dagangan negara buat pertama kali melepasi RM3 trilion.

“Ini hasil kerja keras, perancangan teliti dan keberanian untuk terus bergerak ke hadapan,” kata beliau pada Majlis Pengumuman Prestasi Perdagangan Malaysia 2025 di Menara MATRADE, semalam.

Beliau menekankan bahawa Malaysia terus kekal terbuka dan memperkukuh hubungan dengan rakan dagang di seluruh dunia.

“Malaysia memilih untuk kekal terbuka, membina kepercayaan dan memperkukuh hubungan dengan rakan dagang di seluruh dunia,” ujarnya.

Lebih mengagumkan katanya, lebihan dagangan negara kekal positif untuk tahun ke-28 berturut-turut.

Menurut Reezal, ini menunjukkan Malaysia bukan sekadar bertahan, tetapi terus diyakini dan dipercayai di arena global.

“Terima kasih kepada MITI, MATRADE, para pengeksport, SME dan semua yang bekerja tanpa mengenal penat di belakang tabir. Dengan momentum ini, Malaysia akan terus melangkah lebih jauh, lebih berani dan lebih yakin di pentas perdagangan global,” tambahnya.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri MITI, Sim Tze Tzin; Timbalan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Mastura Ahmad Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof; serta barisan Ahli Lembaga Pengarah MATRADE. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO